Malaysiakini
Pasukan bersenjata Pakistan melancarkan “serangan" menggunakan dron dan peluru lain di sepanjang seluruh sempadan barat India malam tadi dan awal pagi ini, menurut laporan Reuters.
Namun, India mendakwa berjaya menumpaskan serangan tersebut.
“Serangan dron berjaya dipatahkan dan balasan setimpal telah diberikan terhadap pelanggaran gencatan senjata (CFVs),” kata tentera India sambil menegaskan bahawa semua “rancangan jahat” akan ditentang dengan “kekuatan”.
Setakat ini, kerajaan Pakistan belum mengeluarkan sebarang makluman mengenai kenyataan tentera India.
Serangan itu berlaku susulan tindakan India menyerang beberapa kawasan di dalam Pakistan dan wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan pada 7 Mei lalu, dengan sasaran kepada apa yang didakwa sebagai “infrastruktur pengganas”.
India menjelaskan serangan tersebut merupakan tindak balas terhadap insiden serangan pengganas pada 22 April di kawasan Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, yang meragut 25 nyawa. India turut menegaskan tiada kemudahan ketenteraan Pakistan yang disasarkan.
“India telah menunjukkan kawalan diri yang wajar dalam pemilihan sasaran dan kaedah pelaksanaan,” menurut kenyataan negara itu.
Siren berbunyi
Reuters turut melaporkan Pasukan Keselamatan Sempadan India mendakwa berjaya menggagalkan satu “cubaan pencerobohan besar” di wilayah Samba, Kashmir malam tadi, dengan tembakan meriam berat masih berterusan di kawasan Uri pagi ini.
“Beberapa rumah terbakar dan rosak akibat pengeboman di sektor Uri… seorang wanita terbunuh dan tiga orang cedera dalam serangan malam tadi,” kata seorang pegawai yang enggan dinamakan.
Di bandar sempadan Amritsar, India — yang menempatkan Kuil Emas yang dihormati masyarakat Sikh — siren amaran dibunyikan selama lebih dua jam pada Jumaat dan penduduk diarahkan untuk kekal berada dalam rumah.
Langkah berjaga-jaga turut diambil di beberapa kawasan sempadan lain, termasuk Bhuj di Gujarat, dengan pihak berkuasa memaklumkan bas pelancong bersedia untuk memindahkan penduduk berhampiran sempadan Pakistan.
Sekolah dan pusat tuisyen juga diarahkan tutup di wilayah Bikaner, di negeri padang pasir Rajasthan manakala penduduk di kawasan sempadan Pakistan diminta berpindah lebih jauh ke pedalaman atau menumpang di rumah saudara mara atau penginapan yang disediakan kerajaan India.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan