Terpelanting di depan rumah disambar petir

AMRAN ALI
KEADAAN pokok durian patah akibat disambar petir dalam kejadian di Kampung Batang Melaka, Jasin, petang semalam.
JASIN – Seorang lelaki berselisih ajal apabila dipanah petir ketika cuba menutup pintu kereta di rumah keluarganya di Kampung Batang Melaka, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Muhammad Hafizuddin Mihat, 34, bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan akibat insiden tersebut.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia sedang memegang payung untuk menutup pintu keretanya dalam keadaan cuaca hujan lebat.

“Saya baru sahaja hampir ke kereta, tiba-tiba dengar bunyi dentuman kuat dan dalam sekelip mata badan saya terangkat dari tanah lalu jatuh terduduk.

“Petir menyambar pokok durian di tepi rumah dan sebahagian arus terkena saya, membuatkan kepala rasa pening, kaki pula rasa seolah-olah dicucuk jarum halus,” katanya ketika ditemui pemberita di wad Hospital Jasin, di sini hari ini.

Katanya, walaupun dalam keadaan lemah dan terkejut, dia tetap cuba melangkah masuk semula ke rumah bagi menyelamatkan diri daripada disambar petir buat kali kedua.

“Saya menjerit sambil terhuyung-hayang masuk ke beranda dan sempat melihat isteri serta ahli keluarga lain menerpa dalam keadaan panik serta menangis sebelum tumbang. Saya ingat itu pengakhiran hidup saya, dalam hati hanya sempat berzikir dan berserah,” ujarnya.

Menurut bapa kepada empat anak itu, dia kemudian dibawa ke Hospital Jasin menggunakan ambulans. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan