Tiba masanya Kabinet dirombak?

BHarianonline 

'MEMAHAMI' Datuk Seri Rafizi Ramli melalui bait-bait ungkapannya dan pernah menemubualnya, beliau seorang yang berpegang kepada prinsip. Apabila beliau kalah kepada Nurul Izzah Anwar dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR Jumaat lalu, adakah Rafizi, 47, akan melunaskan kesediaannya melepaskan jawatan dalam Kabinet?

Menteri Ekonomi itu menyatakan kesediaannya untuk berbuat demikian dalam podcast Yang Bakar Menteri (YBM) ketika berkempen pemilihan parti, disiarkan secara langsung di media sosial 10 Mei lalu.

Keputusan itu dibuat sebagai langkah menghormati mandat akar umbi, sambil menegaskan beliau akan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan meskipun tidak lagi menganggotai Jemaah Menteri.

Tak apalah, kita tinggalkan sementara isu letak jawatan menteri ini. Kita serahkan kepada Perdana Menteri membuat keputusan. Lagipun bukan sahaja Rafizi seorang, ada lagi anggota Kabinet dan timbalan menteri tewas dalam pemilihan PKR, sama ada di peringkat pusat mahupun cabang. Ikut budi bicara presiden parti untuk menilai keberadaan mereka dalam Jemaah Menteri.

Begitupun, kalau bukan kerana Rafizi mahupun berkait impak pemilihan PKR, adakah barangkali sudah tiba masanya Kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim dinilai keberkesanannya.

Dan perlu dilihat kembali satu persatu prestasi dan potensi setiap anggota Jemaah Menteri. Berikan markahnya daripada pemantauan kad laporan (report card) masing-masing.

Jika perlukan perubahan untuk dirombak, terserah kepada Perdana Menteri. Ya, jika bagus atau ada kurang sini sana seseorang menteri, imej mereka terpalit bukan kepada diri menteri itu semata-mata, tetapi kepada bos mereka juga.

Hal ini juga bukan sahaja membabitkan soal menyalurkan peruntukan yang banyak untuk pentadbiran hal ehwal kementerian, tetapi berkisar aspek keberkesanan. Menteri yang tidak 'deliver' perlu tahu cara memperbaiki diri. Kalau merasakan diri tidak mampu, maklum kepada Perdana Menteri untuk ke pintu keluar.

Kerajaan mana-mana pun di dunia ini untuk terus 'sukses', perlu buat 'post mortem'. Paling mustajab enam bulan sekali untuk menilai keupayaan menteri dan dasar dibawa.

Naluri tajam

Lihat siapa memiliki naluri tajam mencernakan idea bukan retorik dalam bercakap dan melaksanakan sesuatu isu, dasar dan khidmatnya. Ada yang sifatnya sebagai 'gurkha' dan ada pula yang 'dunianya masih siang' lantaran usia masih muda untuk terus diasuh sebagai menteri berwibawa.

Maka sebab itu menteri sedia ada mesti membuktikan mereka bukan pemimpin 'pasang siap'. Dalam cabaran dunia masa kini, dengan isu geopolitiknya, lengkap dengan arus revolusi industri (RI) yang bakal mendatang tahap 6.0 atau 7.0 pula, sesiapa yang mengetuai kementerian tidak lagi sekadar pemimpin 'separuh masak'.

Jika portfolio disandang berpaksikan rakyat, serlahkan daya upaya anda. Tunjukkan berterusan kebolehan dan benarkan diri anda menjadi ingatan rakyat selalu.

Kehidupan seorang menteri umpama roda berputar. Dengan naluri politiknya, dia akan melicinkan proses Parlimen dan kelebihan eksekutif dalam mengejar kesejahteraan orang ramai diwakilinya. Dalam kata lain, seorang menteri itu memusing roda kemewahan untuk orang ramai yang memilihnya mewakili mereka di Parlimen.

Kadang-kadang bila terlintas di depan mata seorang dua menteri pada masa lepas, saya terkagum sebentar. Bukan setakat wibawa mereka sahaja tetapi bakat semula jadi, merendah diri serta tarikan personaliti yang ada. Senang cakap, 'bisa' mereka itu.

Formula, statistik

Perkataan bijak dan berani, tidak bersandarkan formula atau statistik semata-mata, adalah ciri-ciri kelayakan untuk menjadi seorang menteri, selain daripada sifat setia dan jujur. Nilai lain adalah kesanggupan seorang menteri meletakkan rakyat dan negara sebelum dirinya sendiri.

Lagi lama seseorang itu berkhidmat, lagi banyak jasanya. Sementara pandangan ini mengandungi kebenaran, risikonya tetap ada. Lagi lama berada dalam sesuatu jawatan, lagi banyak kesilapan dan masalah yang timbul.

Ini sering diperkatakan dalam agensi atau jabatan yang menggerakkan penguatkuasaan. Perlu kerap dilakukan proses pertukaran kalangan pegawai kanan untuk mengelak sakau menyakau sebelum dibadai bencana besar mahkamah.

Demikian juga kerajaan terpaksa berdepan daya saing cukup tinggi. Antaranya dalam meningkatkan pelaburan infrastruktur, menaik taraf pengangkutan awam, internet pantas dan perumahan mampu milik agar kos harian rakyat dapat dikurangkan. Itu belum lagi berkisar kenaikan harga barang dan melayani tindak tanduk kartel-kartel pertanian dan perusahaan.

Politik yang bijak dan berkesan hari ini adalah politik berbisa. Sentiasalah pasang telinga supaya dapat memahami apa sebenarnya kehendak dan masalah rakyat terkini, perlu diberi perhatian serta segera diatasi.

Malaysia perlukan pemimpin yang tidak ada 'bagasi politik' Imej dan karektornya mungkin nampak sederhana, tetapi apa yang kita perlukan sekarang ialah 'hasil kerja berdasarkan keputusan' demi membantu rakyat semakin sengsara, dengan kadar pengangguran dalam kalangan lepasan universitinya amat tinggi.

Mesti menteri itu memiliki pemikiran luar kotak dengan tindak balas luar biasa. Jangan main `rembat' sahaja. Kadang-kaIa ada satu dua menteri kita bila ke pasar basah dan pasar raya, baru perasan sampai terperanjat harga naik menggila. Padahal, telah diwujudkan pasukan khas tangani isu rakyat sejak dahulu kala lagi.

Keputusan PM

Realitinya dalam politik semasa negara ini, kira-kira 45 peratus pengundi dalam lingkungan umur 21-45 tahun membuktikan mereka kurang menerima gaya politik politik stereotaip. Salah satunya adalah kerajaan lebih tahu apa yang baik dan semua perkara datang dari atasan sahaja. Fahaman politik ini berlawanan golongan dewasa berumur 50-70 ke atas.

Golongan muda di Malaysia tidak lagi berfikiran konvensional dalam pendekatan dan kefahaman hidup. Mereka kurang mempedulikan nilai merdeka, apa itu Rukun Negara atau politik 'pak turut' boleh lakukan untuk mereka.

Dengan cara hidup siber, Malaysia terlalu kecil untuk mereka. Mereka menuntut hak asasi manusia sejagat. Mereka memulakan perkara dulunya bapa mereka ambil sambil lewa.

Mereka tidak lagi menulis surat. Mereka berkomunikasi dengan menggunakan WhatsApp, Telegram, Instagram dan segala aplikasi baharu yang tiba-tiba muncul. Inilah cabaran harus diharungi mana-mana ahli politik dalam era Malaysia baharu.

Negara ini tidak mampu lagi diliputi rasuah kiri kanan atas bawah. Rakyat dan dunia akan pandang kita hina-hina berterusan.

Adakah impak daripada pemilihan PKR atau memang sudah tiba masanya Kabinet MADANI pimpinan Anwar dinilai keberkesanannya - yang mana patut diubahsuai dan dirombak - sama ada minor atau major - terserah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri memutuskannya.

Apa lagi, dalam tempoh 30 bulan lagi untuk mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang perlu rakyat tahu dan memahami impak pentadbiran kerajaan.

Dan barangkali, kerajaan sendiri memerlukan kritikan membina daripada orang sendiri seperti dinyatakan Rafizi bahawa jika tidak lagi terikat dengan tanggungjawab sebagai menteri, beliau akan lebih bebas bersuara dalam pelbagai isu tanpa terikat dengan etika jemaah menteri.

"Satu, saya tidak lagi dibebankan dengan tugas berat sebagai menteri. Kedua, saya akan lebih gembira kerana mulut dan tangan saya tidak lagi terikat," kata Menteri Ekonomi itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan