Wanita maut dilanggar lori tangki selepas tercampak dari kereta

Mohd Khidir Zakaria
Kemalangan maut membabitkan seorang wanita yang tercampak dari kereta sebelum dilanggar lori tangki di Kilometer 26 Jalan Lukut-Sepang pagi tadi. - Foto ihsan polis
Kemalangan maut membabitkan seorang wanita yang tercampak dari kereta sebelum dilanggar lori tangki di Kilometer 26 Jalan Lukut-Sepang pagi tadi. - Foto ihsan polis
PORT DICKSON: Seorang wanita maut apabila tercampak keluar dari pintu belakang sebelah kanan kereta dinaikinya yang terbuka secara tiba-tiba sebaik melalui selekoh di Kilometer 26 Jalan Lukut-Sepang di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin, berkata dalam kejadian jam 8.20 pagi itu, mangsa berusia 39 tahun tercampak keluar di jalan bertentangan dan dilanggar sebuah lori tangki yang datang dari arah berlawanan.

"Kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Myvi dan lori tangki minyak jenis Volvo.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila pintu belakang sebelah kanan kereta yang datang dari arah Sepang ke Lukut itu terbuka secara tiba-tiba menyebabkan mangsa tercampak keluar sebelum dilanggar sebuah lori dari arah berlawanan," katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

"Pemandu kereta seorang lelaki berusia 34 tahun tidak mengalami kecederaan, manakala anaknya berusia lima bulan yang berada di tempat duduk hadapan menggunakan kerusi keselamatan juga tidak cedera.

"Pemandu lori tangki juga tidak mengalami sebarang kecederaan. Ujian saringan air kencing terhadap pemandu kereta menunjukkan keputusan negatif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Polis menasihatkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya untuk memastikan pintu kenderaan sentiasa dikunci dengan selamat terutama apabila membawa penumpang bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan