Wanita warga emas uzur yang mahu mengeluarkan wang meninggal dunia di depan pintu bank

Agensi
FOTO tular di media sosial menunjukkan insiden berkenaan.
FOTO tular di media sosial menunjukkan insiden berkenaan.
Beijing: Sebuah bank di China disiasat susulan kematian seorang wanita warga emas di luar salah satu cawangannya, baru-baru ini.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, mangsa dipercayai datang ke cawangan bank berkenaan untuk mengeluarkan wang secara peribadi.

Insiden itu berlaku di cawangan Bank Pertanian China di Zhuzhou, wilayah Hunan, pada 14 Mei lalu.

Pelanggan yang sakit itu dibawa oleh anak perempuan dan menantunya untuk mengeluarkan 50,000 yuan (kira-kira RM29,000) bagi menampung perbelanjaan perubatannya.

Wanita berusia 62 tahun itu, dikenali sebagai Peng, menghidap diabetes selama bertahun-tahun.

Baru-baru ini, Peng dimasukkan ke hospital selepas jatuh dan patah kakinya, lapor Dahe News.

Salah seorang anak perempuan Peng tiba di bank petang itu dengan kad pengenalan dan buku deposit ibunya, tetapi tidak dapat menyempurnakan transaksi kerana memasukkan kata laluan yang salah beberapa kali.

Walaupun memberitahu kerani bank bahawa ibunya tidak sihat, kerani itu menegaskan bahawa Peng mesti hadir sendiri untuk menyelesaikan isu itu.

Anak perempuan itu kemudiannya menghubungi kakaknya, yang bersama-sama suaminya, membawa Peng ke bank dengan kerusi roda.

Bagaimanapun, selepas sejam, mereka masih tidak dapat mengeluarkan wang berkenaan.

Peng, yang dilaporkan tidak sedar sepenuhnya dengan kepalanya senget ke sebelah, tidak dapat melakukan imbasan pengecaman muka, yang memerlukannya melakukan pergerakan seperti mengangguk dan mengerdipkan mata.

Anak perempuan Peng kemudian membawanya ke luar bank untuk mendapatkan udara segar, namun ibu mereka meninggal dunia di pintu masuk.

Kes itu kini dalam siasatan polis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan