Malaysiakini
Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus dikritik kerana menganggap dakwaan skandal rasuah di Sabah sebagai persepsi politik.
Sementara bekas ketua pesuruhjaya SPRM Lateefah Koya menganggap kenyataan itu sebagai satu jenaka, Ketua Pemuda Bersatu Sabah Mohammad Hisyam Hazaril pula menyifatkannya sebagai mengejutkan.
Menurut Hisyam, kenyataan presiden PKR itu menimbulkan spekulasi bahawa isu tersebut sedang digunakan sebagai modal untuk mencatur semula landskap politik Sabah.
“Adakah ini satu percubaan untuk membentuk gabungan politik baru dengan menggunakan isu rasuah sebagai umpan untuk berhadapan PRN Negeri tidak lama lagi?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Hisyam berkata kenyataan Anwar itu mengundang lebih banyak persoalan tentang komitmen sebenar kerajaan Madani dalam membanteras rasuah di Malaysia.
Mohammad Hisyam Hazaril
Katanya lagi, amat membimbangkan apabila ucapan tersebut disampaikan di depan pemimpin-pemimpin kerajaan Sabah yang dikaitkan dengan video yang tersebar luas itu.
“Ini satu tindakan yang dilihat boleh ditafsirkan sebagai cubaan untuk ‘membersihkan’ imej individu-individu tersebut di khalayak ramai.
“Apakah makna tersirat di sebalik kenyataan ini? Apakah isyarat dihantar menunjukkan bahawa integriti boleh dinegosiasikan demi kepentingan politik?” soalnya lagi.
Dia juga berkata ucapan tersebut memaparkan retorik yang bercanggah dengan nada tegas kerajaan sebelum ini yang berjanji untuk tidak berkompromi dengan sebarang bentuk rasuah.
“Kini rakyat melihat satu kelenturan nada iaitu satu kecenderungan untuk mengaburkan sempadan antara salah laku dan strategi politik.
"Apakah ini tanda awal bahawa prinsip tatakelola dan keadilan boleh dilunturkan atas nama politik? Bagaimana ucapan ini mampu mempengaruhi siasatan yang sedang dijalankan? Satu persoalan yang besar bermain di fikiran rakyat.
"Kami khuatir ini bukan sekadar ‘persepsi’, tetapi satu simptom yang menunjukkan kerajaan Madani sedang bergelut dengan dualisme moral untuk mengangkat antirasuah sebagai slogan, namun menyelitkan unsur toleransi terpilih dalam tindakannya," katanya lagi.
Hisyam menegaskan rakyat mahukan kerajaan yang konsisten bersikap tegas, bukan janji kosong atau sandiwara politik yang membingungkan.
Semalam, Latheefa mempersoalkan mesej yang disampaikan Anwar kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menerusi ucapannya itu.
Bercakap dalam sebuah forum, Letheefa berkata terdapat video menunjukkan beberapa pemimpin kerajaan negeri didakwa berbincang mengenai sogokan, dan ia bukan sekadar persepsi.
"Apa yang dimaksudkan dengan persepsi? Ini adalah bukti yang kukuh.
"Video menunjukkan individu mengaku terlibat dalam perbuatan rasuah bukanlah persepsi, ia adalah bukti kukuh," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan