Buletin TV3
TAWAU: Berang ditegur isteri, seorang lelaki disyaki ‘lalok’ dadah bertindak memukul dan mengugut wanita itu menggunakan gitar elektrik serta gunting dalam kejadian di Kampung Tanah Merah, Merotai Besar, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.13 malam itu, suspek berusia 44 tahun dikatakan naik angin selepas isterinya berusia 36 tahun menegurnya kerana mengesyaki dia mengambil syabu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin memaklumkan, suspek bertindak memukul mangsa di bahagian bahu kanan menggunakan gitar elektrik, sebelum mengacukan gunting sambil mengugut mahu menikam wanita berkenaan beberapa kali.
Menurutnya lagi, suspek turut bertindak membocorkan keempat-empat tayar kereta milik isterinya bagi menghalang wanita itu daripada keluar membuat laporan polis.
“Bagaimanapun, hasil tindakan pantas pihak polis, suspek berjaya diberkas berhampiran kediaman mereka kira-kira 11.35 malam susulan laporan yang dibuat mangsa,” ujarnya menerusi kenyataan.
Jasmin berkata, polis turut merampas gitar elektrik dan gunting yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.
“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah,” menurutnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan