Disebalik pujian pengurusan haji Malaysia: Terkini polis siasat dakwaan 47 jemaah haji dikurung, dipaksa redah laluan bahaya

SITI NUR ZAWANI

Perjalanan 47 jemaah warga emas Malaysia untuk menunaikan haji bertukar mimpi ngeri selepas ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal dan dipaksa meredah laluan berbahaya di Arab Saudi.

Bertindak dari laporan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima tiga laporan polis berkaitan penipuan pakej haji berkenaan.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, berkata, pihaknya sedang meneliti dengan serius laporan yang dibuat oleh ahli keluarga jemaah yang berada di Malaysia.

“Perkara itu sedang diteliti dengan serius oleh JSJK dan siasatan merangkumi pelbagai elemen. Buat masa ini masih terlalu awal untuk menyatakan wujud unsur penipuan rentas sempadan.

“Keterangan dan bukti sedang dikumpul berkenaan kemungkinan sindiket terbabit bekerjasama dengan ejen tertentu atau pun tidak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammed Hasbullah berkata, pihaknya masih menunggu kepulangan semua mangsa untuk dirakam percakapan dan mengambil tindakan selanjutnya.

Beliau turut memaklumkan pada masa ini, siasatan masih di peringkat awal untuk mengenal pasti individu atau agensi tempatan yang bertindak sebagai ejen pemudah atau pengantara dalam aktiviti tawaran haji ini.

Namun beliau memberi jaminan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menyenarai hitam syarikat yang menawarkan pakej tanpa kelulusan.

Beliau berkata, langkah ini penting bagi melindungi orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa membuat semakan dengan agensi berautoriti sebelum menerima sebarang tawaran berkaitan haji.

“JSJK amat menghargai kerjasama media dalam menyebarkan maklumat kepada masyarakat bahawa hanya individu yang memiliki visa haji dibenarkan oleh pihak berkuasa di Tanah Haram untuk menunaikan ibadah haji.

“Kami komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memperdaya jemaah,” katanya.

Terdahulu 47 jemaah mendakwa dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.

Mereka juga didakwa dikurung dan dikunci dalam bilik sempit.

-------

Ejen haji nasihat jemaah terpedaya reda ‘takdir Allah’

Bernama

SEPANG: “Ini semua takdir Allah… Kalian kena reda… Lagi banyak cabaran, lagi besar pahala”, itu antara taktik seorang ejen haji tempatan yang mengungkapkan ayat-ayat tersebut ketika di Tanah Suci, bagi meredakan jemaah haji yang terperdaya.

Seorang peniaga di Batu Pahat, Johor, 63, berkata pada awalnya mereka diberi harapan bahawa segala urusan di Arab Saudi akan lancar, namun pengalaman ngeri bermula selepas selesai urusan di Madinah.

“Paling saya tak sangka, saya kena redah gurun. Dekat Madinah itu masih okey lagi dalam enam hari di sana.

“Lepas itu dia pindahkan kita ke Makkah. Nak masuk ke Makkah itu yang susah, kebanyakan kena naik bukit berbatu, daki gunung,” katanya kepada pemberita di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau antara 49 jemaah haji yang menjadi mangsa kes penipuan pakej haji, melibatkan sekumpulan jemaah warga emas yang didakwa dikurung dan diarahkan melalui laluan berbahaya di Arab Saudi ketika mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Semalam, media melaporkan hasrat sekumpulan jemaah dari Malaysia untuk menunaikan rukun Islam kelima itu tidak kesampaian, selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan ejen haji tempatan.

Laporan itu memetik kenyataan anak kepada seorang mangsa yang mendakwa ibu, bapa dan ibu saudaranya, yang bertolak ke Arab Saudi untuk mengerjakan haji bersama ejen berkenaan pada 9 Mei lepas, dipaksa berjalan kaki meredah laluan berbahaya dari Jeddah ke Makkah.

Ia dipercayai untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa Arab Saudi susulan kawalan ketat terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.

Kumpulan jemaah itu juga mendakwa mereka dikurung dan dikunci dalam bilik yang gelap serta sempit, selain diminta membuat bayaran tambahan lebih RM9,000 jika hendak mengambil barangan yang ditinggalkan sebelum ini, sedangkan mereka telah membayar RM30,000 untuk pakej haji bersama agensi itu.

Sementara itu, seorang guru di sebuah kolej swasta, 64, yang juga isteri kepada peniaga berkenaan berkata selain pengalaman buruk mendaki gunung, mereka juga berdepan dengan kekurangan bekalan makanan.

“Makanan diberi cukup-cukup. Telur goreng dan dua ekor ikan kongsi lima orang. Dua ketul ayam, kongsi tujuh orang.

“Ya kami persoalkan kepada pengelola. Marah… gaduh… apa jawapannya? Dia beritahu kena reda dan tawakal,” kata warga emas berkenaan yang kelihatan keletihan.

Sejumlah 48 jemaah haji selamat pulang ke tanah air menerusi penerbangan Turkish Airlines TK60, yang mendarat kira-kira 5.10 petang tadi di KLIA. Seorang lagi bercuti ke negara lain.

Dilaporkan polis sedang mengenal pasti dalang atau agensi tempatan yang bertanggungjawab dalam kes penipuan pakej haji itu, susulan menerima tiga laporan polis daripada waris mangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan