Dua lelaki ini dijatuhkan hukuman penjara kerana mencuri tandas emas

AFP
James Sheen (kiri) dan Michael Jones dipenjarakan kerana mencuri tandas emas 18 karat - karya seni yang berfungsi sepenuhnya - dari Istana Blenheim Britain, tempat kelahiran Perdana Menteri Britain semasa perang, Sir Winston Churchill. - Foto AGENSI
James Sheen (kiri) dan Michael Jones dipenjarakan kerana mencuri tandas emas 18 karat - karya seni yang berfungsi sepenuhnya - dari Istana Blenheim Britain, tempat kelahiran Perdana Menteri Britain semasa perang, Sir Winston Churchill. - Foto AGENSI
LONDON: Dua lelaki yang memecah masuk sebuah hartanah bersejarah di England dan mencuri tandas emas tulen bernilai £4.5 juta (AS$6 juta) dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Crown Oxford.

Tertuduh James Sheen, 40, dan Michael Jones, 39, masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan 27 bulan.

Tandas emas yang berfungsi sepenuhnya itu diperbuat daripada 18-karat emas dicuri dalam satu serbuan ke atas sebuah pameran di Istana Blenheim pada September 2019.

Karya seni tandas yang dinamakan "America" itu dicipta oleh artis Itali, Maurizio Cattelan dan menjadi antara tarikan utama dalam pameran di rumah bersejarah abad ke-18 itu.

Dalam penghakimannya, Hakim Ian Pringle berkata: "Kecurian yang berani dan terang-terangan ini hanya mengambil masa lima setengah minit untuk disempurnakan. 'America' tidak pernah dijumpai semula."

Karya seni seberat kira-kira 98 kilogram itu diinsuranskan pada nilai AS$6 juta dan diperbuat daripada 20 kilogram emas, yang dianggarkan bernilai sekitar £2.8 juta.

Ia dicuri hanya beberapa jam selepas majlis pelancaran.

Pendakwa Raya berkata karya itu kemungkinan dipecah atau dicairkan dan dijual sejurus selepas dicuri. Emas berkenaan masih belum ditemui semula.

Difahamkan Sheen membawa 20 kilogram emas itu ke Birmingham Jewellery Quarter pada September 2019 dan menjualnya pada harga £26,000 sekilogram dan meraih £520,000 keseluruhan.

Sheen dikatakan mula menghubungi lelaki ketiga, Frederick Doe, dua hari selepas kecurian untuk bertanya jika dia boleh membantunya menjual emas terbabit.

Doe membalas mesej WhatsApp Sheen: "Saya tahu siapa yang kamu perlu jumpa."

Doe, 37 tahun, digambarkan oleh hakim sebagai "orang tengah" dan tidak dipenjara atas peranannya dalam kes ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan