Agensi

Sana Yousaf. - FOTO Agensi
Islamabad: Hasrat ingin berkawan ditolak berkali-kali dipercayai menjadi punca pempengaruh media sosial Pakistan, Sana Yousaf, ditembak mati di rumahnya, 2 Jun lalu.
Menurut pihak berkuasa, seorang lelaki menembak gadis berkenaan di rumahnya, dalam kejadian yang berlaku di hadapan mata ibu dan ibu saudaranya.
Portal NDTV melaporkan polis Islamabad sudah menahan suspek utama, Umar Hayat berusia 22 tahun yang juga seorang penduduk Faisalabad pada Isnin.
Ketua Polis Islamabad, Syed Ali Nasir Rizvi dalam satu sidang media memaklumkan bahawa Hayat ingin menjadi kawan kepada Sana dan berulang kali cuba berhubung dengannya tetapi mangsa menolak.
Pada hari kejadian, Umar Hayat cuba berjumpa dengan Sana selama beberapa jam tetapi gagal.
Selepas ditolak berkali-kali dan tidak mendapat sebarang respon, dia memecah masuk ke rumah mangsa dan menembaknya, kata polis.
"Pertama, ia adalah penolakan melalui telefon. Kini, ia menjadi penolakan secara fizikal," kata Rizvi.
Laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa menyatakan bahawa penembak menceroboh masuk dengan sepucuk pistol sekitar jam 5 petang (waktu tempatan) dan menembak remaja berusia 17 tahun itu pada jarak dekat.
Dua peluru mengenai bahagian dadanya dan Sana dikejarkan ke hospital, namun tidak dapat diselamatkan.
Menurut polis, Umar Hayat hanya menamatkan pendidikan setakat peringkat menengah dan berasal dari latar belakang keluarga berpendapatan sederhana rendah.
Pihak penyiasat percaya dia mengambil telefon bimbit Sana selepas kejadian, berkemungkinan untuk menghapuskan bukti.
"Terdapat usaha untuk mengubah arah siasatan dan tujuan mengambil telefon itu adalah untuk menghapuskan petunjuk," katanya.
Kedua-dua telefon bimbit dan senjata pembunuhan berjaya ditemui semula.
Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi mengesahkan di X bahawa tertuduh mengaku melakukan pembunuhan itu dan senjata sudah ditemui.
Sebelum ini, laporan awal mendakwa tembakan itu dilakukan oleh saudara atau tetamu dan ia mungkin berkait dengan kes 'pembunuhan kehormat'. Namun, polis segera menolak kemungkinan itu.
"Ia adalah kes pembunuhan tanpa petunjuk, tiada bukti awal dan semuanya kabur," kata Rizvi sambil menyifatkan siasatan itu sebagai 'sangat mencabar'.
Beliau memaklumkan suspek berjaya ditahan selepas beberapa operasi pencarian dilakukan di Islamabad dan bandar-bandar lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan