Israel akui diserang lebih 50 peluru berpandu Iran

AFP
FOTO dron menunjukkan tapak kediaman terjejas, berikutan serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel, di Be'er Sheva, Israel, pada 24 Jun 2025. FOTO REUTERS
FOTO dron menunjukkan tapak kediaman terjejas, berikutan serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel, di Be'er Sheva, Israel, pada 24 Jun 2025. FOTO REUTERS
Tel Aviv: Israel mengakui diserang lebih 50 peluru berpandu sepanjang perang 12 hari dengan Iran, namun tahap sebenar kemusnahan mungkin tidak akan diketahui sepenuhnya disebabkan sekatan ketat terhadap kebebasan media.

Peraturan ketat terhadap penyiaran maklumat bukanlah perkara baharu di Israel, menerusi takrifan mana-mana penerbitan bertulis atau visual yang dianggap boleh menjejaskan 'keselamatan negara'.

Walaupun ia satu konsep yang ditakrifkan secara longgar, sebarang penyiaran atau penerbitan boleh diharamkan mengikut undang-undangnya.

Sekatan ketat terhadap media wujud sejak sebelum penubuhan negara haram Israel pada 1948, ketika wilayah berkenaan masih di bawah mandat British.

Bagaimanapun, selepas siri serangan peluru berpandu dari Iran yang berjaya menembusi sistem pertahanan udara canggih Israel serta menyebabkan 28 kematian, pihak berkuasa dilaporkan memperketatkan lagi sekatan ke atas media.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Israel, sebarang siaran dari "zon pertempuran atau lokasi serangan peluru berpandu" memerlukan kebenaran bertulis daripada tentera yang berperanan sebagai pihak yang membuat tapisan.

Ini terutamanya jika ia berlaku berhampiran pangkalan tentera, loji penapisan minyak atau fasiliti strategik lain.

"Ada dimensi keselamatan negara yang nyata di sini. Kita tidak mahu memberitahu musuh di mana tepatnya bom mereka jatuh atau membantu mereka memperbaiki sasaran.

"Tetapi ia juga mengekalkan ketidakpastian mengenai tahap kerentanan negara terhadap ancaman luar. Kemungkinan besar kita tidak akan tahu sejauh mana kerosakan sebenar yang berlaku," kata pakar sosiologi media dari Universiti Tel Aviv, Prof Jerome Bourdon.

Menurut Bourdon, pengawalan media secara ketat itu juga mencerminkan "usaha jelas untuk mengubah naratif", pada waktu Israel berdepan kecaman antarabangsa berhubung perang di Gaza yang menyebabkan puluhan ribu maut serta mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk.

Sepanjang perang, kebanyakan komunikasi rasmi kerajaan lebih memberi tumpuan kepada kejayaan ketenteraan, dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Selasa lalu mengisytiharkan apa yang disifatkannya sebagai "kemenangan bersejarah" terhadap Iran.
-hmetro 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan