Jawatan naib canselor UKM kini disandang oleh Sufian Jusoh

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sufian Jusoh dilantik sebagai naib canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-14, mengisi kekosongan ditinggalkan Mohd Ekhwan Toriman lebih empat bulan lalu.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan berkata tempoh pelantikan Sufian, 57, bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa semalam.

“Kementerian yakin pelantikan beliau sebagai naib canselor UKM yang baharu bakal meneruskan kesinambungan pemerkasaan pembangunan akademik dan penyelidikan berteraskan acuan nasional serta melahirkan graduan berdaya saing, kreatif dan inovatif serta mempunyai jati diri tinggi,” menurut kenyataan itu.

Sebelum dilantik ke jawatan itu, Sufian adalah pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), UKM selama lebih tujuh tahun bermula pada 2018.

Beliau adalah pakar dalam bidang integrasi ekonomi multilateral dan serantau serta undang-undang antarabangsa.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Ekhwan meletak jawatan naib canselor berkuat kuasa 30 Jan.

Dalam kenyataan, beliau ‘terima kasih atas segala fitnah dan tomahan yang dilontarkan yang mana laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah dibuat.’

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan butiran lanjut.

Sebelum itu, tular di media sosial dakwaan terdapat unsur salah guna kuasa dan penyelewengan di UKM yang mengaitkan Mohd Ekhwan dan beliau juga membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Tugas naib canselor UKM sebelum ini dipegang Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa Abdul Halim Abdul Gafor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan