Kelantan: Remaja dipercayai pukul warga emas dengan cota hingga maut

Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my
LOKASI lelaki warga emas maut akibat dipukul dengan besi cota. FOTO Ihsan Pembaca.
LOKASI lelaki warga emas maut akibat dipukul dengan besi cota. FOTO Ihsan Pembaca.
Tanah Merah: Lelaki warga emas maut dipercayai dipukul dengan sebatang besi cota di Kampung Buloh, Ipoh, di sini, semalam.

Mangsa, Shamsuddin Mohamad, 60, yang mengalami kecederaan di bahagian muka meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut adik mangsa, Hasnah Ghazali, 40, kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang selepas abangnya berbual dengan rakan, sebelum didatangi seorang remaja lelaki.

"Remaja itu mengajaknya ke belakang kedai runcit berhampiran dan dikatakan terus dipukul menggunakan sebatang cota.

"Abang saya terus rebah tidak sedarkan diri dan kejadian itu disedari seorang lelaki yang melalui kawasan itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat.

Hasnah berkata, dia mengetahui kejadian yang selepas dihubungi seorang rakan jam 5.45 petang sebelum terus ke lokasi.

Katanya, dia mendapati Shamsuddin sudah pun meninggal dunia dalam keadaan muka yang berlumuran darah.

Menurutnya, lagi, kali terakhir dia bercakap dengan mangsa yang menetap bersama ibu yang sudah uzur pada Rabu lalu selepas mengunjungi mereka.

"Saya difahamkan kejadian ada kaitan dengan teguran abang terhadap remaja itu yang bermain motosikal menyebabkan timbul rasa tidak puas hati," katanya sambil memberitahu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kelupang Ipoh, di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan