Lagi kejutan Sabah: Skandal pelombongan selubungi Star, pemimpin tertinggi PBS

RK Anand & Alyaa Alhadjri

Kurang dari 48 jam sebelum seorang pemberi maklumat dan dua Adun ditetapkan untuk didakwa kerana rasuah di Sabah, Malaysiakini mendapat nama enam lagi ahli politik yang dikatakan terlibat dalam skandal perlombongan.

Mereka yang terlibat termasuk pemimpin tertinggi Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) – yang kedua-duanya merupakan komponen utama kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Antaranya ialah Presiden Star Jeffrey Kitingan, dua timbalannya Ellron Alfred Angin serta Robert Tawik, pemangku Presiden PBS Dr Joachim Gunsalam, pendahulunya Dr Maximus Ongkili, dan timbalan presiden parti itu, Jahid Jahim.

Satu sumber telah memberikan Malaysiakini tangkapan skrin yang didakwa diambil daripada rakaman video yang melibatkan pemimpin terbabit.

Malaysiakini turut ditunjukkan petikan ringkas rakaman itu tetapi tidak diberi kebenaran untuk mengeluarkannya semula.

“Jumlah keseluruhan yang terlibat (untuk enam individu terbabit) ialah hampir RM4 juta – RM3.96 juta tepatnya”, dakwa sumber itu yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Sebagai tambahan kepada bukti video, sumber terbabit mendakwa bahawa mesej WhatsApp dan dokumen lain wujud untuk menyokong transaksi tersebut.

Satu tangkapan skrin yang dikaitkan dengan dakwaan terhadap Maximus – masih menjadi Presiden PBS pada masa rakaman pada Jan 2024 – menampilkan individu ketiga yang tidak dikenali, yang menurut sumber itu dikaitkan dengan ahli politik terbabit.

Sari kata dalam tangkapan skrin merujuk kepada perbualan yang didakwa “RM600,000” bertukar tangan.

Bagi Jeffrey – yang juga Timbalan Ketua Menteri I Sabah serta Menteri Pertanian dan Perikanan negeri – sumber itu mendakwa dia menerima RM1.78 juta, yang merupakan jumlah tertinggi

Joachim – seperti Jeffrey – memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri II dan juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri. Menurut sumber itu, dia didakwa menerima RM600,000 juga.

"Biar SPRM menjalankan tugas mereka," kata Joachim kepada Malaysiakini dalam mesej teks apabila ditanya sama ada dia akan menafikan dakwaan itu atau tidak, dan jika dia mengingati kejadian yang dikatakan dalam tangkapan skrin video tersebut.

Timbalan Jeffrey, Ellron dan Robert, masing-masing berkhidmat sebagai menteri belia dan sukan negeri dan pembantu menteri kerja raya.

“Ellron (didakwa) dibayar RM530,000 dan Robert (didakwa) menerima RM300,000,” dakwa sumber itu.

Sumber itu mendakwa orang nombor dua PBS, Jahid – yang merupakan menteri pembangunan luar bandar negeri – “telah telah menerima RM150,000.”

Malaysiakini belum dapat mengesahkan sama ada rakaman penuh video baru itu akan dikeluarkan secara terbuka atau diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Portal berita ini juga telah menghubungi ahli politik terbabit beberapa kali melalui pesanan teks dan panggilan telefon, serta Pejabat Ketua Menteri melalui pengarah komunikasi dan medianya Lucy Yong, bagi mendapatkan komen mereka.

Dengan pendedahan terbaru ini, jumlah ahli politik GRS yang terlibat telah meningkat kepada 15 orang, termasuk Speaker DUN Kadzim Yahya.

Sejak Nov tahun lalu beberapa siri rakaman video telah dibocorkan melibatkan menteri kewangan negeri Masidi Manjun; timbalan ketua menteri III dan menteri kerja raya negeri Shahelmey Yahya; menteri sains, teknologi dan inovasi negeri Arifin Arif – yang juga menantu Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman; pembantu menteri pembangunan perindustrian dan keusahawanan negeri Andi Suryandy; Adun Sindumin yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Bhd, Yusof Yacob; Adun Kemabong dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah, Rubin Balang; Adun Tempasuk Arsad Bistari; dan Adun Kuamut, Masiung Banah

Masidi ialah Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), yang presidennya Hajiji Noor menjadi ketua menteri. Arifin, Rubin dan Masuing adalah naib presiden.

Pemberi maklumat kemudiannya menyerahkan rakaman penuh, telefon bimbit, dan 300 muka surat dokumen kepada SPRM.

Minggu lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata hanya dua Adun akan didakwa buat masa ini manakala timbalan pendakwa raya akan memutuskan yang lain kemudian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan