Lelaki warga Myanmar maut ditikam, polis buru rakan senegara

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
POLIS memburu warga Myanmar yang terbabit dalam kes bunuh di Tangkak, malam tadi. FOTO ihsan PDRM
POLIS memburu warga Myanmar yang terbabit dalam kes bunuh di Tangkak, malam tadi. FOTO ihsan PDRM
Tangkak: Kurang dua minggu selepas kejadian suami mengelar leher isteri dengan pisau hingga maut, satu lagi kes bunuh berlaku di daerah ini, malam tadi.

Kejadian berlaku pada jam 7 malam membabitkan lelaki warga Myanmar yang dibunuh menggunakan senjata tajam dipercayai pisau di sebuah rumah sewa, Jalan Kemajuan di sini.

Difahamkan, sebelum itu, berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek berusia 24 tahun namun lelaki itu melarikan diri selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, suspek adalah warga Myanmar serta pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Katanya, usaha mengesan suspek giat dijalankan selepas dia dilaporkan melarikan diri.

Justeru, katanya, sebarang maklumat berkenaan suspek boleh disalurkan ke talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak 06-9785222 atau menghubungi pegawai penyiasat 019-2699573.

Pada 2 Jun lalu, seorang wanita maut selepas dikelar suaminya dengan pisau pemotong sayur selepas berlaku pertengkaran di sebuah rumah, Taman Cahaya, Bukit Gambir.

Kejadian hanya diketahui pada keesokan hari selepas lelaki itu ditahan ketika menyerah diri ke balai polis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan