Mayat suami isteri ditemui dalam rumah

Buletin TV3 

Fazli Ahmad
RAUB: Mayat pasangan suami isteri warga emas ditemui di dalam rumah yang didiami mereka di Kampung Sungai Ruan, dekat sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman, berkata ketika ditemui, mayat pasangan terbabit sudah berulat dan dipercayai meninggal dunia lebih seminggu lalu namun tidak disedari jiran.

Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Katanya, sebaik menerima laporan, pihaknya bergegas ke kediaman mangsa untuk menjalankan siasatan dan mendapati pintu rumah dalam keadaan berkunci.

“Polis mendapatkan bantuan bomba untuk membuka pintu belakang rumah berkenaan.

“Sebaik memasuki rumah itu, polis menemui mayat seorang lelaki terbaring di dapur.

“Pemeriksaan lanjut kemudian membawa kepada penemuan mayat seorang wanita terbaring di dalam bilik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Anggota bomba mengangkat mayat suami isteri dipercayai sudah meninggal dunia lebih seminggu di Kampung Sungai Ruan, Raub. - Foto ihsan JBPM.
Mayat terbabit dikenal pasti sebagai Woh Tong Seng, 75, dan isterinya, Loh Kam Ngo, 73.

Mohd Shahril berkata, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa serta kawasan sekitar tidak menemui sebarang unsur jenayah.

Menurutnya, polis sudah merakam percakapan anak pasangan itu yang memaklumkan Ngo menghidap penyakit Parkinson sejak 20 tahun lalu, manakala Seng sedang menjalani rawatan akibat masalah jantung.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan