Malaysiakini
Petik nama Klopp, Nik Nazmi tetap undur demi 'perkiraan lebih besar'
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, hari ini memberi bayangan bahawa dia tidak akan mengubah keputusannya untuk berundur dari jawatan menteri walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih memberikan tempoh untuk mempertimbangkan ketetapan tersebut.
Malah berdasarkan hantaran di media sosialnya pagi ini, Ahli Parlimen Setiawangsa itu juga menghantar isyarat bahawa keputusan tersebut disandarkan kepada "perkiraan yang lebih besar."
Dia juga menegaskan bahawa keputusan meninggalkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bukan sesuatu yang mudah untuk diambil.
Katanya, memang benar dia masih mempunyai pilihan sama ada kekal meletakkan jawatan atau membuat pusingan U lalu membatalkan ketetapan yang dibuatnya baru-baru ini.
"Tetapi keputusan saya buat ini adalah untuk perkiraan yang lebih besar.
"Mandat parti adalah penting untuk reformasi luas. Memang saya ada pilihan untuk kekal, tapi pilihan saya adalah untuk letak jawatan," katanya.
Hantaran itu dibuat semasa Nik Nazmi bercerita mengenai kunjungan Pengerusi Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia, Shareen Shariza Abdul Ghani, ke pejabatnya di Putrajaya pada minggu lalu.
Tanda yakin keputusan sendiri
Ketika itu, kata Nik Nazmi, dia sedang berkemas sebagai persediaan mengosongkan premis berkenaan.
Dalam kunjungan tersebut, katanya, Shareen sempat bertanya jika masih ada peluang dan ruang untuk ahli politik terbabit mengubah fikiran agar terus menganggotai kabinet.
Bagaimanapun, kata Nik Nazmi, Shareen kemudian memahami bahawa dia tetap dengan pendirian yang diambil sebelum ini.
Nik Nazmi - yang pernah mengetuai Pemuda PKR bagi penggal 2014 hingga 2018 - gagal mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden parti itu yang dimenanginya pada Julai 2022.
Dia kalah kepada bekas Bendahari Agung MIC - yang menyertai PKR pada 2020 - R Ramanan.
Peletakan jawatan Nik Nazmi diumumkan selepas penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berbuat demikian apabila kalah kepada pencabarnya, Nurul Izzah Anwar.
Pemilihan dalam kongres kebangsaan itu diadakan di Johor Bharu pada 22 Mei lalu.
Kata Nik Nazmi selepas lebih dua tahun berkhidmat sebagai menteri, dia menganggap anggota pasukan yang ada di kementerian berkenaan berkenaan serta agensi yang di bawahnya adalah "pasukan impuan" yang memiliki komitmen, kebolehan dan kewibawaan luar biasa.
Menjelaskan lagi keputusan muktamadnya untuk meletak jawatan, Nik Nazmi, 43, memetik kata-kata bekas Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, semasa memilih untuk meninggalkan kelab bola sepak tersebut.
Kata Nik Nazmi, Klopp memberitahu walaupun sangat suka kepada Liverpool dan selesa dengan kakitangannya, tindakan meninggalkan mereka menunjukkan dia begitu yakin dengan keputusan diambil.
"Itulah perasaan saya," kata Nik Nazmi.
Peletakan jawatan Rafizi berkuat kuasa hari ini selepas dia menghabiskan cutinya semalam, manakala Nik Nazmi mulai 4 Julai nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan