Pengantin baharu maut disambar petir

Agensi

Washington: Kegembiraan pengantin baharu menikmati percutian bulan madu di Pantai New Smyrna di Florida bertukar tragedi apabila si suami maut disambar petir.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari, 20 Jun lalu, mangsa, Jake Rosencranz, 29, dari Colorado, sedang beriadah bersama isterinya, Leah di pantai itu apabila kilat menyambar dalam fenomena yang dianggap jarang berlaku di kawasan berkenaan.

Rosencranz yang hanya berdiri di kawasan cetek, segera diberikan rawatan awal termasuk bantuan pernafasan (CPR) oleh pasukan kecemasan dan dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal, sebelum dia disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya (21 Jun).

Ketika kejadian cuaca di pantai itu baik dengan langit biru tanpa awan ribut.

Pengarah Keselamatan Pantai, Tammy Malphurs berkata, kes itu dianggap luar biasa kerana tiada ribut di kawasan sekitar ketika kejadian.

"Petir berkenaan dipercayai datang dari ribut yang berlaku beberapa kilometer jauhnya. Langit ketika itu cerah, tiada ribut," katanya kepada Denver Post yang dipetik The Guardian.

Sherif daerah, Mike Chitwood berkata, pasangan suami isteri itu berada di pantai berkenaan sempena meraikan perkahwinan mereka.

"Mereka datang meraikan cinta. Dalam satu saat yang mengerikan, segala-galanya berubah," katanya.

Kematian Rosencranz menjadi kematian pertama akibat disambar petir di Florida bagi tahun ini, menurut laporan agensi keselamatan.

Tahun lalu, Florida mencatatkan angka kematian akibat petir tertinggi di Amerika Syarikat (AS) iaitu 12 kes, selain jumlah panahan petir per batu persegi paling banyak, menurut laporan syarikat teknologi alam sekitar AEM.

Ahli kaji cuaca Florida, Matt Devitt mengingatkan orang ramai bahawa bunyi guruh sahaja sudah cukup sebagai isyarat bahawa mereka berada dalam jarak bahaya panahan petir, walaupun pada masa langit kelihatan cerah.

"Apabila guruh berdentum, segeralah berlindung," katanya, memetik amaran keselamatan cuaca yang sering digunakan.
-hmetro 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan