BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penegasan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, khususnya mengenai darjah kebesaran bukan untuk dibeli atau dilobi, disifatkan sebagai peringatan tepat pada masanya dalam usaha mengekalkan integriti dan kredibiliti sistem penganugerahan negara.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian, berkata penganugerahan darjah kebesaran terutama yang membawa gelaran Datuk serta Tan Sri, bukan sekadar satu bentuk penghormatan tetapi juga membawa bersama tanggungjawab moral dan sosial yang besar kepada masyarakat.
Beliau berkata, kebelakangan ini memang terdapat trend melobi bagi mendapatkan gelaran itu, malah ada yang menyalahgunakan gelaran berkenaan untuk kepentingan tertentu.
"Sebab itu, titah Yang di-Pertuan Agong sangat bertepatan pada masanya... (penganugerahan) datang bukan semata-mata sebagai satu anugerah, tetapi datang dengan rasa tanggungjawab yang perlu dipertahankan sebagai seorang warganegara.
"Malah jika kita lihat, Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa penerima harus berasa bangga kerana mereka merupakan insan terpilih berdasarkan perincian kriteria yang ditentukan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, semalam, menegaskan penganugerahan darjah kebesaran, bintang serta pingat Persekutuan bukan untuk dibeli atau dilobi, sebaliknya hanya diberikan kepada individu yang benar-benar layak serta berjasa kepada kerajaan dan negara.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, walaupun kerajaan telah menggariskan syarat untuk dipertimbangkan, baginda tetap akan menilai semula setiap calon yang dicadangkan.
Sivamurugan menjelaskan bahawa dari sudut sosiobudaya, rakyat Malaysia secara tradisinya meletakkan nilai tinggi terhadap gelaran darjah kebesaran.
Namun apabila jumlah penerima meningkat secara mendadak, beliau berkata, timbul persoalan mengenai kelayakan dan ketulenan anugerah yang dikurniakan.
"Dahulu, penerima sangat sedikit dan benar-benar dihormati tetapi kini apabila terlalu ramai menerima, ada yang mula mempertikaikan kelayakan. Bahkan, ada kes penerima merupakan individu bermasalah," katanya.
Menyentuh soal ketelusan, beliau berkata, sistem sedia ada telah merangkumi pelbagai tapisan penilaian, termasuk saringan latar belakang calon penerima oleh jawatankuasa khas dan semakan rekod oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Namun, sistem ini boleh diperhalusi dan diperkemaskan. Saringan perlu dilakukan bukan sekadar pada rekod jenayah atau salah laku, tetapi juga menilai kelayakan moral dan sumbangan sebenar calon," katanya.
Senada dengan Sivamurugan, Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis, berkata sistem penganugerahan negara harus kekal bersih daripada sebarang bentuk tekanan, lobi atau kepentingan peribadi.
"Saya bersetuju dan menyokong titah Seri Paduka. Ia peringatan penting mengenai nilai dan integriti sistem anugerah negara kita.
"Anugerah seperti ini seharusnya diberikan kepada individu yang benar-benar telah memberi sumbangan besar kepada masyarakat, negara serta pembangunan dalam pelbagai bidang sama ada sektor awam, swasta, sosial mahupun sukarela," katanya.
Beliau berkata, darjah kebesaran mempunyai nilai simbolik sangat tinggi dalam sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan, yang mencerminkan penghargaan negara terhadap jasa dan pengorbanan seseorang individu.
"Dalam masyarakat yang menjunjung adat dan hierarki, anugerah ini dilihat sebagai puncak pengiktirafan sosial dan status. Justeru, ia membawa makna besar, bukan sekadar lambang tetapi juga pengesahan pencapaian," katanya.
Mujibu berkata, garis panduan awam yang telus dan mudah difahami akan membantu mengurangkan salah faham serta persepsi negatif masyarakat terhadap sistem penganugerahan negara.
Katanya, garis panduan itu akan menambah kredibiliti sistem sedia ada, selain dapat menjadi motivasi kepada rakyat untuk terus menyumbang kepada negara dengan mengetahui bahawa sumbangan mereka boleh diiktiraf secara adil dan terbuka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan