Penuntut ditahan, aksi bersama sepupu antara 5,000 bahan lucah dalam peranti

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kegiatan seorang penuntut universiti memiliki 5,000 bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) serta bahan lucah dewasa dalam peranti miliknya mengundang padah apabila ditahan dalam Op Pedo, baru-baru ini.

Malah perbuatan terkutuk itu dihasilkan sendiri oleh suspek berusia 20 tahun membabitkan dua orang mangsa kanak-kanak.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, bertindak atas maklumat hasil kerjasama dengan pihak Google, pada 4 petang 29 April lalu, pasukan serbuan terdiri daripada Unit Malaysia Internet Crime Against Children (MICAC), Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman dan Kontinjen Johor membuat tangkapan ke atas lelaki di Gudang, Johor.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati dia adalah penuntut universiti serta menemui 5,000 CSAM dan bahan lucah dewasa di dalam peranti milik suspek dipercayai dimuat turun dari Internet dan terdapat juga bahan-bahan disyaki dihasilkan sendiri oleh suspek membabitkan dua mangsa kanak-kanak tempatan.

"Tangkapan dan rampasan telefon bimbit serta komputer riba dijalankan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

"Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mengeksploitasi secara seksual dua orang kanak-kanak berusia empat dan sembilan tahun yang merupakan sepupu kepadanya dan merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit dalam beberapa kejadian di tiga lokasi berbeza di Kontinjen Selangor, Pahang dan Kelantan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Kamsiah berkata, sebanyak tiga lagi kertas siasatan berasingan dibuka bagi menjalankan siasatan di kontinjen-kontinjen berkaitan.

"Bagi kes memiliki CSAM dan bahan lucah, suspek sudah dituduh di Johor pada 22 Mei lalu dan mengaku salah serta sudah membayar denda RM5,000.

"Manakala bagi kesalahan merakam perbuatan bersama kanak-kanak di kediaman keluarga suspek di Sungai Buloh antara 2023 hingga 2025, suspek dituduh hari ini di Klang," katanya.

Beliau berkata, bagi siasatan membabitkan kejadian merakam perbuatan memandikan kanak-kanak di sebuah tandas di ladang itik kebuh sawit di Maran, Pahang pula masih dalam kajian pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

"Bagi kejadian di Kelantan pula yang berlaku tahun lalu dan tahun ini bertempat di rumah nenek suspek, siasatan juga masih dalam kejadian pihak Peguam Negara," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan