Penuntut wanita sebuah universiti di Cyberjaya ditemui maut disyaki dibunuh

Wartawan BH
Anggota polis dilihat membawa mayat mangsa keluar dari kediamannya sebelum dibawa ke hospital untuk siasatan lanjut. - Tangkap layar tular
Anggota polis dilihat membawa mayat mangsa keluar dari kediamannya sebelum dibawa ke hospital untuk siasatan lanjut. - Tangkap layar tular
KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang juga penuntut sebuah universiti swasta di Cyberjaya, ditemui mati dipercayai dibunuh dalam bilik asramanya pagi semalam.

Wanita berusia 20 tahun berasal dari Kuching, Sarawak itu ditemui dengan kesan kecederaan pada anggota badan oleh rakannya kira-kira jam 10 pagi semalam.

Rakan mangsa kemudian menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Sumber berkata, mangsa yang juga penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi sebuah universiti di Cyberjaya, tinggal di bilik berkenaan bersama lima rakannya.

"Setakat ini, beberapa barang berharga milik mangsa termasuk komputer ribanya dipercayai hilang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Berdasarkan beberapa rakaman video yang tular, sepasukan anggota polis dilihat membawa mayat mangsa keluar dari kediamannya sebelum dibawa ke hospital untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Polis Daerah Sepang ketika dihubungi memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan