Shakira Buang
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat maju jaya kepada Rafizi Ramli tetapi mengharapkan Nik Nazmi Nik Ahmad dapat mempertimbangkan semula keputusan meletakkan jawatan.
“Saya ucap selamat maju jaya kepada saudara Rafizi yang telah berkhidmat begitu baik sebagai menteri ekonomi dan sekarang saya akan putuskan untuk mana-mana menteri untuk menjalankan tugas (menteri ekonomi)," katanya ringkas kepada media di Kuala Lumpur, hari ini.
Anwar juga menegaskan bahawa keputusan berkaitan pengganti Rafizi akan diputuskan kemudian.
Sabtu lalu, Anwar memberikan masa kepada kedua-dua mereka untuk memikirkan masak-masak sebelum melepaskan kedudukan dalam kabinet.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata jika boleh dia mahu Rafizi (bekas menteri ekonomi) dan Nik Nazmi (sumber asli dan kelestarian alam) kembali dalam kabinetnya.
Mengulas lanjut sama ada Kementerian Ekonomi akan dibubarkan susulan pengunduran Rafizi, Anwar berkata ia tidak akan berlaku.
"Saya fikir tak ada keperluan untuk dirombak apa-apa setakat ini," katanya.
Dia juga berkata tiada keperluan hal ehwal ekonomi diletakkan kembali bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU).
"Kita teruskan untuk sekarang (Kementerian Ekonomi) kerana tidak ada isu tidak ada masalah teruskan,"tegasnya.
Sementara itu, Anwar berkata dia memberi ruang kepada Nik Nazmi untuk memikirkan semula perkara itu kerana dia masih dalam tempoh bercuti.
“Saya selalu tunggu, bagi peluang, (minta Nik Nazmi) berfikir, renung (kembali keputusannya) dan saya bagi pandangan saya, kalau boleh teruskan khidmat.
“Tapi ada masa lagi, dia masih dalam tempoh bercuti. Kita beri ruang, buat apa nak suruh terima (perletakan jawatan) kalau dia masih cuti, tarikhnya belum sampai,” katanya.
Rafizi dan Nik Nazmi pada akhir Mei lalu menghantar surat perletakan jawatan susulan kekalahan mereka pada pemilihan PKR.
Menerusi surat perletakan jawatan yang dihantar kepada Anwar, peletakan jawatan Rafizi akan berkuat kuasa 17 Jun (esok), manakala Nik Nazmi pada 4 Julai.
Rafizi tewas di tangan mantan naib presiden PKR, Cik Nurul Izzah Anwar, yang juga anak sulung Anwar, manakala Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan naib presiden.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan