'Politik kebencian' PAS kian bahaya, kata Guan Eng

Malaysiakini 
 
Pemimpin veteran DAP, Lim Guan Eng, berpendapat "politik kebencian" yang dibawa PAS kini semakin berbahaya dan sarat dengan elemen perkauman seperti yang ditunjukkan seorang menantu Presiden PAS.

Justeru, katanya, ia mesti diambil tindakan agar amalan tersebut dapat dihalang daripada terus memburuk.

Memetik komen Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad, terkait penganugerahan pangkat leftenan jeneral kepada seorang pegawai tentera bukan Melayu, Lim berkata tindakan tersebut sebenarnya melampau.

Dia yang kini menjadi Penasihat DAP Kebangsaan berkata, Zaharuddin - yang juga menantu Abdul Hadi Awang - mencemar pencapaian cemerlang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia terbabit.

Zaharuddin juga, kata Lim, memperlekeh pengorbanan serta kesetiaan rakyat bukan Melayu kepada negara ini.

"Politik kebencian dan tidak bertoleransi yang dibawa oleh PAS kini semakin ekstrem, fanatik dan sarat dengan unsur perkauman.

"Sikap ini mesti dihentikan dan tidak boleh dibiarkan berterusan.

"Tiada satu pun institusi yang dianggap suci daripada serangan PAS. Kumpulan etnik minoriti mudah dijadikan sasaran fitnah, manakala Perlembagaan Persekutuan dihina secara terbuka," katanya di media sosial.

Semalam Zaharuddin memuat naik hantaran bersifat satira dengan mengaitkan pelantikan seorang perdana menteri dari keturunan Cina pada tahun 2058. Mengiringi hantaran tersebut ialah gambar penganugerahan pangkat kepada Komandan Maktab Ketahanan Nasional, Mejar Jeneral Johnny Lim Eng Seng.

Zaharuddin Muhammad

Bagaimanapun hantaran Zaharuddin itu tidak lagi dapat dibaca, dipercayai sudah dipadamkan.

Lim berkata Zaharuddin perlu dikenakan tindakan undang-undang kerana dilihat menghasut kebencian kaum serta mencetuskan ketegangan melalui hantaran berkenaan.

"Hanya hukuman yang tegas terhadap naratif yang tidak bertanggungjawab dan berbahaya seperti itu dapat menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus ke dalam kehancuran akibat rasisme dan ekstremisme yang sedang disuburkan PAS," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan