Malaysiakini
Rafizi Ramli berjanji akan “membakar” serta “memberi pencerahan” dalam audio siarnya YBM, kini yang membawa maksud “Yang Berhenti Menteri”.
“Saya sekarang tidak lagi terikat dengan etika kerajaan dan kerahsiaan. Jadi saya bebas bersuara.
“Insya-Allah, saya akan imbangkan ulasan YBM - bakar pun ada, beri pencerahan pun ada. Yang penting mestilah objektif, berfakta dan memberi pemahaman yang adil kepada semua,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Dia sebelum ini memulakan audio siar Yang Bakar Menteri - juga dengan akronim YBM.
Yang Berhenti Menteri akan disiarkan setiap minggu dengan episod pertama pada Jumaat ini, jam sembilan malam.
Rafizi, yang baru-baru ini meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi selepas tewas dalam pemilihan PKR, dijangka akan menjawab pelbagai kritikan terhadap dirinya, selain memberi gambaran tentang hala tuju politiknya.
Dalam hantarannya, dia turut membangkitkan beberapa sindiran yang sering dilemparkan terhadapnya – “kuat merajuk”, “tak makan dipujuk”, “jadi menteri tak ada hasil”, “nak buat parti baru dan “formula dah entah ke mana”.
Rafizi sering disindir sebagai “raja formula” oleh para pengkritiknya. Sindiran itu merujuk kepada kecenderungannya menggunakan pengiraan terperinci, model ekonomi dan hujah berasaskan data.
Pada 30 Mei lalu, hanya dua hari selepas berundur daripada kabinet, dia yang juga ahli Parlimen Pandan memberi bayangan mengenai langkah seterusnya, dan berkata akan berkongsi tentangnya selepas Hari Raya Haji.
“Saya memang dah plan (rancang) apa nak tumpu selepas ni, tapi biarlah semua orang tenang, (sambut) raya haji dan lain-lain,” katanya.
Potensi sebenar bagi negara ini ialah rakyat biasa dan usaha memanfaatkannya perlu dilaksanakan semula, katanya lagi ketika itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan