Rafizi: 'Tidak perlu tubuh parti baharu'

Mohd Nasaruddin Parzi

KUALA LUMPUR : Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, tidak melihat keperluan untuk menubuhkan parti baharu selepas gagal mempertahan jawatan dalam pemilihan PKR sebelum ini.

Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan, keutamaan bagi negara ketika ini adalah meneruskan kestabilan politik dan membiarkan kerajaan yang ada kini meneruskan fungsi dan tugasnya dalam mentadbir negara.

"Pandangan saya, sebenarnya saya tak rasa negara dan rakyat perlukan satu parti baru dalam masa terdekat. Dia bukan sangat soal minat atau tak, sebabnya ialah paling penting negara dan masyarakat.

"Kita kena kekalkan kestabilan kerajan, tak boleh lagi betukar-tukar (kerajaan). Jadi biarlah kerajaan yang ada terus memerintah kerana kuasa akan kembali kepada rakyat (dalam pilihan raya nanti)," katanya dalam rancangan Live Podcast YBM (Yang Berhenti Menteri) disiarkan di Facebook, malam tadi.

Beliau berkata, jika wujud parti baharu yang terhasil daripada serpihan parti kerajaan yang ada ketika ini, tidak mustahil ia akan menyebabkan ketidakstabilan.

"Manfaat dan juga keburukan kalau berlaku apa-apa ketidakstabilan perkara itu lebih buruk kepada masyarakat, dalam keadaan negara sedang lalui tempoh mencabar. Dengan ada kestabilan, kita boleh lalui cabaran dunia.

"Jadi kalau ada cerita parti baru itu, saya faham perasaan akar umbi PKR yang kecewa dan saya faham banyak boleh buat dengan parti baru ini," katanya.

Menyentuh dakwaan beliau bukan seorang pemimpin yang boleh berkerja dalam satu pasukan, Rafizi menyangkal dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai tidak bersandar realiti terutama mengambil kira sejak penglibatannya dalam politik.

"Saya pernah jadi Ketua Perancangan Perniagaan untuk PETRONAS umur 27 tahun. Kalau contohnya saya bukan 'team player', tak adalah dapat jawatan dan naik pangkat begitu cepat.

"Dalam politik, pada 2016 semasa kita gerakkan INVOKE, kita menang 47 kerusi (Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14) pada masa itu. Kempen kita melibatkan sukarelawan, jumlahnya tinggi 40,000 lebih.

"Untuk kita kumpul dan bagi motivasi untuk kita jadualkan mereka ini, kalau saya ada masalah berkerja dalam pasukan, bagaimana saya bina ikatan dengan mereka. Semua ini serangan peribadi, apa yang lebih penting bagaimana kita mahu 'move on'.

"Soal 'team player' ini (jadi) satu sebab saya rasa keputusan baik dengan menarik diri dari Kabinet," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan