Shakira Buang
Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, daripada semua sabitan dan hukuman melibatkan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ahmad Zaidi Ibrahim, bersama Hakim Azman Abdullah dan Noorin Badaruddin.
Mahkamah menerima rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 yang mensabitkannya dengan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, serta denda RM10 juta.
Ketika membacakan alasan penghakiman lebih sejam, Noorin berkata pertuduhan terhadap Syed Saddiq adalah tidak berasas dan pihak pendakwaan gagal membuktikan wujudnya unsur bersubahat.
“Kami mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti dan fakta yang boleh dipercayai bagi menyokong pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan (penyalahgunaan harta).
“Kami juga berpendapat bahawa pertuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram tidak dapat dikekalkan. Oleh itu, perayu dibebaskan dan dilepaskan daripada semua pertuduhan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan