Syed Saddiq: "Pernah diugut dan ditawar sogokan, tapi saya pilih untuk lawan"

Yasmin Natasha

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan beliau pernah menerima ugutan dan tawaran sogokan supaya tunduk dalam kes melibatkan dana sayap pemuda Bersatu, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), namun memilih untuk terus berjuang demi membersihkan namanya.

“Saya pernah digertak, diugut dan ditawar sogokan, tetapi saya memilih untuk lawan. Saya percaya bahawa jika berada di pihak yang benar, Allah akan buka jalan.

“Ada pihak cuba calarkan integriti saya. Ibu saya sampai alami ‘relaps’ kanser kerana tekanan. Saya tolak jalan mudah kerana yakin hanya mahkamah yang mampu bersihkan nama saya,” katanya semasa sidang media selepas Mahkamah Rayuan hari ini membebaskannya daripada empat pertuduhan termasuk pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Menurut Syed Saddiq, beliau memasuki mahkamah pagi tadi dengan persediaan untuk menerima apa juga keputusan, namun mengakui perjalanan lima tahun lalu amat mencabar.

Beliau yang juga bekas Presiden MUDA turut menegaskan peletakan jawatannya baru-baru ini dibuat atas dasar prinsip dan bukannya akibat tekanan mana-mana pihak.

“Malaysia perlukan pemimpin yang benar-benar bersih. Saya letak jawatan kerana itu adalah tindakan yang betul dan bermaruah. Saya akan terus berkhidmat demi rakyat dan negara,” ujarnya.

Syed Saddiq turut memohon sedikit ruang untuk berehat bersama keluarga selepas melalui tempoh yang penuh tekanan.

“Saya mungkin nampak kuat di luar, tetapi hanya Tuhan yang tahu apa yang saya dan keluarga lalui. Saya perlukan sedikit masa untuk bersama mereka,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan