Warga Myanmar didakwa tikam rakan senegara angkara hutang

Buletin TV3 
Cho Min Tun (kanan) dituduh membunuh rakan senegaranya dengan sembilan tikaman manakala Maung Lin Ko Ko tiada dokumen sah. – Foto NSTP
TANGKAK: Seorang lelaki warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya menggunakan pisau pemotong sayur dalam kejadian dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Cho Min Tun, 24, kerana tidak memahami Bahasa Melayu.

Tertuduh yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) hanya menggeleng kepala ketika ditanya jurubahasa sama ada dia memahami Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh San Maung Thein, 39, di Jalan Kemajuan Off Jalan Paya Mas, di sini, antara jam 5.15 petang hingga 5.40 petang, 11 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sapian, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 1 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi kehadiran jurubahasa, dan tiada ikat jamin ditawarkan.

Sebelum ini media melaporkan mangsa ditemukan dengan sembilan kesan tikaman, termasuk empat di leher dan beberapa di bahagian dada.

Tertuduh dipercayai menikam mangsa selepas lelaki itu gagal melunaskan hutang lebih RM1,000 sebelum melarikan diri ke Melaka menaiki kenderaan e-hailing. Dia ditahan dua hari kemudian.

Di mahkamah sama, seorang lagi warga Myanmar, Maung Lin Ko Ko, 39, didakwa kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tiada jaminan ditawarkan susulan tertuduh merupakan warga asing, dan sebutan semula kes pada 1 Julai depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan