4 kakitangan majalah Turki LeMan ditahan atas dakwaan menghina Nabi Muhammad S.A.W.

Buletin TV3 
Protes terhadap Majalah LeMan (AFP)
ISTANBUL: Empat kakitangan majalah satira terkenal Turki, LeMan ditahan atas tuduhan menerbitkan karikatur yang didakwa menggambarkan Nabi Muhammad S.A.W.

Penahanan itu sebahagian daripada siasatan oleh pihak Pendakwa Raya yang diketuai oleh Menteri Kehakiman Yilmaz Tunç.

Kesemua tertuduh menafikan lukisan terbabit mempunyai sebarang kaitan dengan Nabi Muhammad S.A.W.

Tunç turut memaklumkan bahawa waran tangkap dikeluarkan terhadap dua lagi suspek yang kini berada di luar negara.

Penerbitan karikatur tersebut dan penahanan kakitangan majalah pembangkang itu mencetuskan rusuhan jalanan di Istanbul pada malam Isnin, terutamanya di Istiklal, lokasi popular yang menjadi tempat lepak ramai petugas LeMan. Kira-kira 300 orang terlibat dalam pergaduhan antara kumpulan yang mempertahan majalah tersebut dan mereka yang marah dengan penahanan berkenaan.

Salah seorang kartunis yang ditahan, Dogan Pehlevan dalam keterangannya kepada polis yang diterbitkan oleh laman berita T24, berkata: “Saya hanya mahu berbicara tentang perdamaian dalam lukisan ini dan mengecam mereka yang cuba memprovokasi keadaan.”

Tambahnya lagi, “Saya melukis di Turki selama bertahun-tahun. Peraturan pertama yang kita belajar ialah tidak menyentuh isu keagamaan dan tidak mempermainkan agama. Saya sentiasa berpegang kepada prinsip ini. Saya tolak semua tuduhan terhadap saya.”

Kartun yang dipersoalkan itu memaparkan dua watak sedang bertemu di langit di atas sebuah bandar yang musnah akibat pengeboman. Watak-watak itu diberi nama Muhammed dan Musa.

Pehlevan menjelaskan, “Saya hanya ingin mengetengahkan betapa tidak masuk akal peperangan. Itu sahaja mesej saya.”

Pada hari Selasa, Presiden Recep Tayyip Erdogan menyifatkan karikatur tersebut sebagai satu “provokasi keji” dan “jenayah kebencian” serta berikrar bahawa mereka yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan kerana “tidak menghormati Nabi”.

Kes ini mencetuskan perdebatan besar di Turki antara kebebasan bersuara dan garis sensitiviti agama dengan pelbagai kumpulan hak asasi. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan