Mohd Roji Kawi
am@hmetro.com.my
Kuching: Empat ditemukan lemas manakala enam lagi hilang selepas bot yang mereka naiki karam di pantai Belawai, dalam Bahagian Mukah, hari ini
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, tujuh lagi dilaporkan selamat dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.11 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis diarah ke lokasi yang terletak 22 kilometer dari balai itu.
"Setibanya di lokasi pada jam 3.12 petang, komander operasi melaporkan bot gentian kaca yang membawa 17 penumpang karam di pantai.
"Empat mangsa yang disahkan lemas dalam kejadian itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurutnya lagi, operasi pencarian di tepi pantai kini dijalankan oleh anggota menggunakan penyelamat bomba dan dibantu oleh bot dari agensi Sarawak Coast Guard.
"Anggota masih mengumpul maklumat kesemua mangsa dari pemandu bot yang selamat ketika kejadian berlaku," katanya.
Maklumat identiti mangsa yang lemas dan yang masih hilang belum diperoleh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan