Bekas atlet negara tak mengaku laku amang seksual terhadap pelatih berbasikal

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my

Ampang: Bekas pelumba basikal lebuh raya negara, Nor Effandy Rosli mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelatih berbasikal perempuan berusia 15 tahun di sebuah stor simpanan, tahun lalu.

Jurulatih berbasikal berusia 58 tahun itu membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.

"Faham, saya tidak mengaku bersalah," katanya yang datang ditemani isteri.

Mengikut pertuduhan, bapa empat anak itu didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu jurulatih berbasikal melakukan amang seksual fizikal bagi tujuan seksual terhadap seorang remaja yang berumur 15 tahun 9 bulan ketika kejadian.

Kesalahan itu dilakukan di stor simpanan basikal di medan selera di Taman Desa Keramat, dekat sini pada jam 6 petang, sekitar Jun tahun lalu.

Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat.

Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berikutan kesalahan itu membabitkan kanak-kanak bawah umur.

"Pendakwaan juga memohon syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan," katanya.

Bagaimanapun, peguam Hamdan Hamzah yang mewakili bekas atlet berbasikal kebangsaan itu memohon jaminan RM5,000 berikutan anak guam bekerja sebagai pembantu penguatkuasa di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan pendapatan RM5,000 sebulan.

"Tertuduh masih menanggung empat anak manakala isteri tidak bekerja.

"Tertuduh bukanlah seorang yang berisiko melarikan diri berikutan selepas siasatan dilakukan dia dilepas dengan jaminan polis dan ketika pegawai penyiasat meminta dia hadir ke mahkamah, tertuduh hadir hari ini," katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Norshila membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.

"Tertuduh juga dilarang mengganggu atau menghubungi mangsa yang boleh menjejaskan perjalanan kes," katanya yang kemudian menetapkan 1 Ogos untuk serahan dokumen.

Untuk rekod, Nor Effandy pernah mewakili negara dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) selama 10 tahun berturut-turut dari 1996 hingga 2005 dan pemegang pingat perak Sukan Komanwel 1998 acara 184 kilometer (km).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan