Budak perempuan koyak kepala diketuk dengan tukul besi

Zulhisham Isahak 
IMG_20250729_093909
Tangkap layar video tular memaparkan seorang budak perempuan dicederakan di kepala dengan tukul besi di Flat Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, Sabtu lalu.
JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki kerana mencederakan seorang kanak-kanak perempuan menggunakan tukul besi di Flat Ungku Tun Aminah di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, tangkapan itu dilakukan susulan laporan polis seorang wanita yang mendakwa anaknya diserang seorang lelaki pada pukul 5.19 petang.

“Mangsa yang berusia 12 tahun mengalami pendarahan di kepala dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Keadaan mangsa kini dilaporkan stabil dengan kecederaan koyakan di kepala serta bengkak di tangan kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi dua minit 19 saat memaparkan seorang lelaki mundar mandir di hadapan kawasan lif di flat tersebut dan kelihatan beberapa kanak-kanak perempuan berada di lokasi berkenaan.

Menerusi video sama, kedengaran jeritan suara seorang kanak-kanak sebelum kelihatan lelaki terbabit berlari meninggalkan kawasan berkenaan.

Kanak-kanak perempuan itu memasuki lif sambil memegang kepalanya yang berlumuran darah.

Balveer Singh berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Tun Aminah berjaya menahan suspek pada pukul 7.25 malam di kediamannya sekitar daerah ini pada hari sama laporan diterima.

“Hasil semakan mendapati suspek warga tempatan berusia 39 tahun itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.

Suspek tambahnya, direman selama tujuh hari bermula kelmarin hingga 2 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan