Faisal Asyraf
Hakim membenarkan ikat jamin RM6,000 dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, selain dilarang mendekati mangsa.
Iqbal Muhammad (dua dari kiri) yang turut dikenali CEO Batu tiba di Mahkamah Sesyen Ampang pagi ini.
KUALA LUMPUR: Seorang pempengaruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan menunjukkan kemaluannya kepada gadis berusia 13 tahun dua bulan lalu.
Iqbal Muhammad, 22, yang lebih dikenali CEO Batu, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Norshila Kamarudin.
Dia didakwa melakukan gangguan seksual bukan fizikal terhadap kanak-kanak itu dengan menunjukkan kemaluannya atas niat untuk dilihat mangsa di Sunway Batu Caves sekitar 1.16 pagi 16 Mei lalu.
Iqbal didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie mencadangkan jaminan RM10,000.
Tetapi, peguam Anif Rafih merayu jaminan rendah RM6,000 atas alasan anak guamnya hanya meraih kira-kira RM3,000 sebagai pempengaruh dan pihak berkuasa kini mengharamkan akaun media sosial serta merampas telefon bimbitnya.
Tertuduh turut menjaga datuknya yang menghidap penyakit jantung dan perlu mendapatkan rawatan sebulan sekali di Institut Jantung Negara.
Hakim membenarkan ikat jamin RM6,000 dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, selain dilarang mendekati mangsa.
Mahkamah menetapkan 14 Ogos ini untuk serahan dokumen.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan