Israel Bimbang Kekuatan Udaranya Terhakis Apabila Turkiye Beli 40 Buah Eurofighter Typhoon

DSA

Menurut Lapid, kerajaan pimpinan Netanyahu telah menunjukkan kelalaian dalam aspek diplomatik dan pertahanan apabila tidak mengambil langkah proaktif untuk menggagalkan rundingan antara Turkiye dengan United Kingdom dan Jerman bagi memperoleh pesawat tempur generasi ke-4++ itu.

Typhoon

Eurofighter Typhoon.

Ketua pembangkang Israel, Yair Lapid mengkritik keras Perdana Menteri Benjamin Netanyahu kerana gagal menghalang Turkiye daripada meneruskan rancangan pembelian jet pejuang canggih Eurofighter Typhoon yang mampu mengubah landskap kekuatan udara negara Yahudi itu di Timur Tengah.

Menurut Lapid, kerajaan pimpinan Netanyahu telah menunjukkan kelalaian dalam aspek diplomatik dan pertahanan apabila tidak mengambil langkah proaktif untuk menggagalkan rundingan antara Turkiye dengan United Kingdom dan Jerman bagi memperoleh pesawat tempur generasi ke-4++ itu.

“Jika Israel mempunyai Kementerian Luar yang berfungsi atau kerajaan yang normal, perjanjian penjualan jet Eurofighter Typhoon kepada Turkiye oleh Jerman dan United Kingdom sudah lama disekat,” kata Lapid.

Beliau juga memberi amaran bahawa Turkiye kini sedang berusaha keras untuk menyaingi dominasi kuasa udara Israel di rantau ini, sesuatu yang boleh menjejaskan kelebihan strategik ketenteraan rejim Zionis itu sejak sekian lama.

“Turkiye mempunyai armada tentera laut paling besar dan paling kuat di Timur Tengah dan kini mereka mahu mencapai kesetaraan dengan Israel dalam ruang udara. Ini adalah situasi yang amat berbahaya, dan kerajaan kita yang tidak berfungsi membiarkan perjanjian ini berjalan tanpa mengambil apa-apa tindakan,” katanya lagi.

Amaran Lapid mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan elit politik dan keselamatan Israel berhubung usaha Turkiye untuk mempercepatkan pemodenan angkatan tenteranya secara agresif.

Meskipun pegawai pertahanan Israel mengakui bahawa Eurofighter Typhoon tidak mengatasi keupayaan pesawat yang digunakan oleh Tentera Udara Israel seperti F-35I “Adir” dan F-15I “Ra’am”, pembelian sehingga 40 unit jet ini oleh Turkiye tetap dilihat sebagai cabaran strategik jangka panjang yang serius.

Taurus

Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dengan dua butir peluru berpandu kruis “TAURUS”

“Ini bukan ancaman yang akan mengubah permainan kepada Tentera Udara kita. Typhoon adalah pesawat yang berkeupayaan tetapi tidak lebih unggul daripada jet-jet kita,” kata seorang pegawai kanan pertahanan Israel kepada The Jerusalem Post.

“Tetapi ia merupakan petanda jelas dan membimbangkan bahawa Turkiye sedang mempercepatkan pengumpulan senjata secara sistematik, dan akhirnya boleh mencabar kelebihan ketenteraan Israel di rantau ini,” katanya lagi.

Perjanjian Eurofighter itu dijangka bernilai sekitar AS$5.6 bilion (RM26.2 bilion), dan penganalisis meramalkan bahawa Turkiye akan mengumumkan pelan awal kontrak tersebut semasa Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF) di Istanbul yang berlangsung minggu ini.

Fasa pertama pembelian dijangka melibatkan penghantaran 20 buah jet Eurofighter Tranche 1 yang telah dinaik taraf daripada United Kingdom, yang dijangka akan mula beroperasi dalam Tentera Udara Turkiye seawal tahun 2026.

Fasa kedua pula akan menyusul dengan pembelian 20 buah jet Eurofighter Typhoon Tranche 4 — versi terkini yang dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) CAPTOR-E serta pelbagai sistem peperangan elektronik dan keupayaan superior dalam misi udara-ke-udara dan udara-ke-darat.

Eurofighter Typhoon Tranche 4 merupakan versi terbaharu dan paling moden dalam keluarga pesawat tempur pelbagai peranan yang dibangunkan oleh konsortium pertahanan Eropah terdiri daripada United Kingdom, Jerman, Itali dan Sepanyol.

Pesawat generasi ke-4.5 ini dibina bagi mengekalkan keunggulan udara tentera Eropah dalam era peperangan moden yang semakin kompleks dan berasaskan teknologi tinggi

Typhoon

Eurofighter Typhoon

Antara komponen utama yang menjadikan Tranche 4 begitu istimewa ialah radar Active Electronically Scanned Array (AESA) Captor-E Mk1, yang memberikan keupayaan pengesanan dan penjejakan pelbagai sasaran serentak dalam jarak jauh serta keupayaan peperangan elektronik (EW) yang amat maju.

Radar Captor-E ini membolehkan Eurofighter Typhoon Tranche 4 menyerang dan menangkis ancaman udara serta darat dalam persekitaran yang padat dengan gangguan elektronik atau “jamming”.

Sistem radar AESA ini dianggap sebagai antara kelebihan strategik utama berbanding jet generasi lama yang masih menggunakan radar konvensional.

Dari sudut kuasa enjin, pesawat ini digerakkan oleh dua enjin Eurojet EJ200 turbofan yang setiap satunya mampu menghasilkan daya tujahan sehingga 90 kN (20,000 lbf) dengan afterburner.

Ini memberikan pesawat keupayaan “supercruise” iaitu terbang laju melebihi Mach 1 tanpa memerlukan afterburner, sekaligus menjimatkan bahan api dan memperpanjang jangkauan operasi.

Dengan nisbah tujahan-berat yang tinggi, Typhoon Tranche 4 mampu melakukan manuver tajam dan agresif dalam pertempuran udara jarak dekat (dogfight), satu ciri penting dalam senario pertempuran moden.

Pesawat ini turut dilengkapi dengan sistem bantuan pertahanan diri yang dipertingkatkan dikenali sebagai Defensive Aids Sub-System (DASS), yang memberikan perlindungan aktif terhadap pelbagai ancaman termasuk peluru berpandu dan radar musuh.

DASS merangkumi sistem amaran radar, amaran peluru berpandu, sistem gangguan elektronik serta peluncur flare dan chaff automatik bagi mengelak serangan berpandu.

Dari segi kokpit, Typhoon Tranche 4 menerima naik taraf besar-besaran melalui penggunaan paparan skrin besar digital atau Large Area Displays (LAD) yang menggantikan skrin analog tradisional.

Kemampuan senjata juga ditingkatkan secara drastik dalam Tranche 4.

Antara senjata yang boleh dibawa termasuk peluru berpandu Beyond Visual Range (BVR) Meteor keluaran MBDA yang memiliki jangkauan lebih 200km serta kemampuan “no escape zone” yang luas.

Meteor merupakan peluru berpandu udara-ke-udara tercanggih Eropah yang boleh menewaskan sasaran walaupun ketika ia cuba melarikan diri dengan kelajuan supersonik.

Tranche 4 juga mampu membawa peluru berpandu serangan darat seperti Storm Shadow yang mempunyai jangkauan lebih 500km, sesuai untuk misi pengeboman jauh dan pemusnahan sasaran strategik.

Selain itu, pesawat ini turut serasi dengan peluru berpandu Brimstone, Paveway IV, serta sistem senjata SPEAR (Selective Precision Effects At Range) yang menjadikannya sebuah platform serangan pelbagai peranan yang amat fleksibel.

Bagi senjata jarak dekat, Tranche 4 membawa IRIS-T dan ASRAAM sebagai peluru berpandu jarak dekat yang mempunyai keupayaan dogfight dan kebolehgunaan dalam sudut pelancaran luas (“high off-boresight”).

Rekabentuk delta-canard yang digunakan sejak versi awal Typhoon turut dikekalkan, memberikan aerodinamik unggul serta kebolehan manuver ekstrem di udara.

Struktur pesawat juga diperbuat daripada bahan komposit ringan dan tahan lasak, serta dipertingkatkan untuk menampung jangka hayat melebihi 8,000 jam penerbangan.

Salah satu ciri unik Tranche 4 ialah ia “E-Scan Ready”, iaitu bersedia menerima pelbagai naik taraf masa hadapan termasuk pod peperangan elektronik, sambungan komunikasi satelit, dan sistem komputer misi berpandukan kecerdasan buatan (AI).

Kesediaan terhadap teknologi masa hadapan ini menjadikan Tranche 4 sebagai pelaburan jangka panjang yang relevan sehingga tahun 2060.

Jet ini dibangunkan secara bersama oleh UK, Jerman, Itali dan Sepanyol dan dianggap sebagai antara pesawat pejuang generasi 4.5 paling maju di dunia, yang dijangka kekal relevan sehingga sekurang-kurangnya tahun 2060.

Pembelian ini adalah sebahagian daripada strategi besar Turkiye untuk mengatasi kebergantungan terhadap jet F-16 lama dalam inventori mereka, terutamanya dengan kelewatan Washington meluluskan penghantaran varian F-16 Block 70 kepada Ankara.

Situasi ini menjadi lebih kritikal selepas Turkiye disingkirkan daripada program F-35 pada tahun 2019 berikutan pembelian sistem pertahanan udara S-400 dari Rusia, yang menyebabkan hubungan ketenteraan dengan Amerika Syarikat menjadi renggang.

Sejak itu, Turkiye telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk membina semula keupayaan udara mereka, termasuk membangunkan jet tempur generasi kelima tempatan, KAAN, yang diketuai oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).

Setakat ini, jet KAAN baru sahaja melengkapkan dua ujian penerbangan, dengan ujian ketiga dijadualkan dalam masa terdekat, manakala penghantaran pertama kepada Tentera Udara Turkiye dijangka tidak berlaku sebelum 2028.

Sementara menunggu KAAN menjadi operasional sepenuhnya, pembelian Eurofighter menjadi penyelesaian jangka pendek yang kritikal bagi Ankara bagi mengekalkan keupayaan tempur mereka di tengah-tengah ketegangan serantau yang semakin memuncak.

Ketegangan itu turut dipacu oleh saingan dengan Greece, yang telah memperoleh 24 buah jet Rafale dari Perancis yang dilengkapi sistem peperangan elektronik Spectra serta peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh MICA dan Meteor.

Rafale yang serba canggih itu telah mula mengubah imbangan kuasa udara di Laut Aegean, memaksa Turkiye untuk bertindak agar tidak ketinggalan dari segi keupayaan udara serantau.

Turkiye turut memperkuatkan keupayaan pelbagai domainnya dengan meluaskan pengaruh maritim dan  dron — termasuk Bayraktar TB2, Akinci dan prototaip dron pejuang Kizilelma — yang berupaya meningkatkan tekanan strategik terhadap Israel dalam pelbagai medan.

Israel bimbang perkembangan ini akan menyebabkan mereka kehilangan dominasi udara dan laut yang telah lama dimiliki, sekaligus menjejaskan keupayaan pencegahan mereka terhadap mana-mana cabaran serantau.

Lapid turut mengecam sekutu tradisional Israel di Eropah yang menurutnya telah gagal untuk menyelaraskan kepentingan strategik bersama, apabila UK dan Jerman terus bergerak ke arah meluluskan penjualan Eurofighter kepada Ankara walaupun terdapat kebimbangan yang telah disuarakan oleh Tel Aviv.

Walaupun Jerman dikatakan masih berhati-hati berikutan kebimbangan terhadap dasar luar Ankara dan rekod hak asasi manusia Turkiye, sokongan aktif Britain dianggap sebagai kunci utama yang boleh memastikan perjanjian ini diteruskan.

Perkembangan ini mencerminkan perubahan dalam hubungan Israel dengan negara-negara Eropah yang dahulunya erat, kini dilihat kurang selari dengan aspirasi strategik Israel — terutamanya dalam konteks peralihan geopolitik global dan persaingan kuasa besar.

Dengan Turkiye semakin hampir memuktamadkan perjanjian Eurofighter, amaran Lapid bukan sekadar menggambarkan perpecahan dalaman dalam politik Israel, tetapi juga menandakan peralihan kepada perlumbaan senjata serantau yang semakin pesat.

Turkiye kini sedang meletakkan dirinya sebagai kuasa udara baharu yang mampu menyaingi Israel, dan jika strategi ini berjaya, ia bakal membawa impak besar terhadap struktur keselamatan dan keseimbangan kuasa ketenteraan di Timur Tengah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan