Kat Malaysia ni mudah je, apa-apa berlaku salahkan hujan

Perkhidmatan Aerotrain KLIA tergendala 1 jam 15 minit akibat takungan air

Mohd Iskandar Ibrahim
Perkhidmatan aerotrain pada hari pertama pengoperasian semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).  Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Perkhidmatan aerotrain pada hari pertama pengoperasian semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
SEPANG: Malaysia Airports mengesahkan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dihentikan sementara pagi tadi susulan takungan air di terowong laluan tren akibat hujan lebat.

Menerusi kenyataan, Malaysia Airports memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 11.00 pagi apabila satu daripada pam saliran di terowong itu mengalami kerosakan teknikal, sekali gus menyebabkan air bertakung tidak dapat disalirkan secara automatik.

"Sebagai langkah keselamatan, operasi tren digantung sehingga kerja pembersihan air dilakukan secara manual dan laluan disahkan selamat.

"Perkhidmatan disambung semula sepenuhnya pada jam 12.15 tengah hari selepas mendapat pengesahan daripada pasukan teknikal dan keselamatan," menurut kenyataan itu.

Malaysia Airports menjelaskan sistem saliran terowong itu dilengkapi dengan pam yang direka untuk mengendalikan air semasa cuaca buruk.

Sepanjang gangguan berlaku, perkhidmatan pengangkutan ke Terminal Satelit tidak terjejas apabila penumpang terus dibawa menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik.

"Perkhidmatan Aerotrain kini kembali beroperasi seperti biasa. Kami komited untuk memastikan pengalaman perjalanan di KLIA kekal selamat, lancar dan boleh dipercayai.

"Pasukan teknikal kami terus memantau sistem ini dengan rapi sepanjang fasa awal operasinya," katanya.

MAHB turut merakamkan penghargaan kepada semua penumpang di atas kesabaran dan kerjasama sepanjang gangguan perkhidmatan berlaku.

Terdahulu, sebuah laman web berkaitan perkhidmatan tren melaporkan operasi Aerotrain terganggu menyebabkan penumpang terpaksa dibawa menaiki bas dari terminal utama dan terminal satelit.

Operasi Aerotrain di KLIA disambung semula mulai 1 Julai lalu selepas 28 bulan tertangguh melalui proses naik taraf bernilai RM456 juta.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat melakukan tinjauan dan merasai pengalaman menaiki perkhidmatan terbabit pada hari pertama pengoperasiannya semula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan