Kelantan, Serbuan banglo: Tiga lelaki mengaku salah miliki gambar, video lucah

Nor Fazlina Abdul Rahim
Mohd Hanafi Ibrahim (kana) bersama penuntut IPT, Muhammad Al Azamuddin Al Fadzil dan Mohamad Syahmi Firas Mohd Jurij, (kedua-dua berselubung) mengaku salah memiliki gambar dan video lucah jantina sejenis di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Mohd Hanafi Ibrahim (kana) bersama penuntut IPT, Muhammad Al Azamuddin Al Fadzil dan Mohamad Syahmi Firas Mohd Jurij, (kedua-dua berselubung) mengaku salah memiliki gambar dan video lucah jantina sejenis di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
KOTA BHARU: Tiga lelaki termasuk dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) didenda berjumlah RM11,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki gambar dan video lucah menerusi serbuan di sebuah rumah di Kemumin, pada 18 Jun lalu.

Mohd Hanafi Ibrahim, 47, didenda RM3,000 manakala Muhammad Al Azamuddin Al Fadzil, 22, dan Mohamad Syahmi Firas Mohd Jurij, 27, masing-masing didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Wan Mohd Izzat Wan Abdullah.

Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan, semua tertuduh didakwa memiliki gambar dan video lucah dalam telefon bimbit masing-masing.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kemumin, Kampung Pulau Belacan, Panchor, di sini, pada jam 1.15 pagi, 18 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah dan Nur Haziqah Hassan, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Samantha Chong Yin Xin.

Terdahulu, Muhamamd Nadzir dan Nur Haziqah memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat awam kerana tindakan itu tidak bermoral dan bertentangan dengan norma awam.

Samantha pula memohon anak guamnya dikenakan denda minimum kerana sudah insaf dan berjanji akan berubah.

"Mohd Hanafi mempunyai masalah kesihatan otak serta pernah menjalani pembedahan kepala pada 2016 dan kini ditanggung kakaknya.

"Muhammad Al Azamuddin adalah penuntut universiti tahun pertama dan Mohamad Syahmi Firas adalah penuntut akhir di politeknik.

"Mereka berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu dan keluarga berjanji akan membimbing mereka ke jalan yang benar selepas ini," katanya.

Jika gagal membayar denda, mereka perlu menjalani hukuman penjara enam bulan.

Mengikut laporan sebelum ini, polis menyerbu perjumpaan kumpulan di sebuah banglo di Jalan Kemumin, di sini, yang dipercayai disertai hampir 100 lelaki.

Serbuan dibuat hasil risikan dan maklumat awam pada jam 1 pagi pertengahan bulan lalu itu menahan 20 lelaki selain merampas ratusan kondom dan ubat HIV.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan