'Kit Siang, pemimpin PH perlu minta maaf pada Najib kes Morais'

Malaysiakini 

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mengaitkan Najib Razak dengan pembunuhan bekas timbalan pendakwa raya Kevin Morais harus memohon maaf, kata pentadbir laman Facebook bekas perdana menteri itu semalam.

"Sudah sampai masanya Lim Kit Siang, DAP, PH dan semua yang pernah cuba kaitkan Najib Razak dengan pembunuhan Kevin Morais tampil memohon maaf secara terbuka - tanpa berdalih, tanpa helah," katanya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas bekas doktor tentera R Kunaseegaran berhubung pembunuhan Kevin 10 tahun lalu.

Menurut Free Malaysia Today, dua lagi – S Nimalan, 32; dan S Ravi Chandran, 54 - masing-masing dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 40 tahun.

Nimalan turut diperintahkan menerima 12 sebatan rotan, manakala Ravi terhindar daripada sebatan rotan kerana usianya.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimum Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim, berkata hukuman mati Kunaseegaran kekal kerana dia telah menarik balik rayuannya terhadap hukuman itu.

Mahkamah membebaskan tiga yang lain - R Dinishwaran, 33; AK Thinesh Kumar, 32; dan M Vishwanath - selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 25 Nov 2015, abang Kevin, Charles Suresh Morais mendakwa memiliki pemacu pena yang dihantar kepadanya oleh adiknya yang dibunuh.

“Ia berada dalam jagaan selamat di AS dengan seseorang yang mempunyai arahan untuk melepaskannya secara terbuka sekiranya apa-apa yang tidak diingini berlaku kepada saya kerana bersumpah dengan akuan berkanun ini.

"Kandungan pemacu pena ini dengan jelas mendedahkan penyiasatan yang telah ditugaskan kepada Kevin sejurus sebelum kematiannya, yang membabitkan personaliti tertentu di koridor kuasa di Malaysia," tambahnya dalam satu akuan berkanun.

Sehari kemudian, Lim menggesa siasatan awam baru berhubung perkara itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan