Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my

Seorang lelaki warganegara Pakistan, Muhammad Hassan, 24, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Shah Alam, hari ini atas pertuduhan meliwat dan melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga remaja dan seorang kanak-kanak lelaki antara April hingga Jun lalu. FOTO FAIZ ANUAR
Shah Alam: Seorang lelaki warganegara Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan liwat, amang seksual fizikal dan merompak kanak-kanak lelaki serta remaja antara April hingga Jun lalu.
Tertuduh, Muhammad Hassan, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman dalam bahasa Urdu.
Mengikut dua pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan luar tabii terhadap remaja lelaki berusia 19 dan 15 tahun tanpa kerelaannya.
Kesalahan itu dilakukan pada 18 April dan 26 Jun lalu di dalam hutan dan dewan di Seksyen 27, di sini, masing-masing 1.30 petang dan 10.05 malam.
Justeru, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan dengan sebatan.
Dia juga didakwa merompak wang RM230 milik remaja berusia 19 tahun dan dengan sengaja mengugut untuk mencederakan mangsa ketika mahu melarikan diri.
Oleh itu, lelaki berkenaan melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan.
Dalam prosiding sama, dia turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak dan remaja lelaki berusia lapan dan 13 tahun pada 27 Mei dan sekitar Jun lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu masing-masing di taman permainan di Seksyen 28 dan kawasan semak berdekatan sebuah sekolah di Seksyen 27.
Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal dan Ruthra Raj Selvarajoo manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 23 September ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan