Noor Atiqah Sulaiman
Penemuan mayat mereput kerana meninggal dunia berhari-hari atau berbulan-bulan di rumah, kejadian lemas sama ada akibat bencana alam atau kemalangan termasuk kereta terbabas ke sungai seperti tragedi di Sungai Korok, baru-baru ini dan kes bunuh sering mendapat perhatian masyarakat yang mengikuti perkembangan siasatan dan laporan media.
Dalam semua insiden itu, terdapat satu pihak boleh membuka kunci misteri di sebalik kematian mangsa berkenaan, tetapi kurang didedahkan kepada umum, iaitu ahli forensik. Umum menyangka golongan itu hanya membedah mayat, tetapi sebenarnya merangkumi pelbagai tugas.

Dr Nadiawati Abdul Razak
Wartawan BH, Noor Atiqah Sulaiman mewawancara Pensyarah Perubatan Kanan, Pakar Patologi Forensik merangkap Ketua Unit di Unit Perubatan Forensik, Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Nadiawati Abdul Razak untuk memahami bidang tugas pakar forensik di negara ini.
Soalan (S): Bagaimana mula menceburi bidang patologi forensik dan apa mendorong memilih kerjaya ini?
Jawapan (J): Minat terhadap bidang patologi forensik mula berputik semasa menjalani latihan sangkutan klinikal sebagai pegawai perubatan siswazah di jabatan forensik hospital.
Saya berpeluang melihat bagaimana bedah siasat dijalankan ke atas kes kematian rumit dan cara pakar patologi forensik menyatukan fakta saintifik untuk membongkar kebenaran di sebalik kematian membabitkan unsur jenayah.
Setiap kecederaan atau tanda pada tubuh menceritakan sesuatu petunjuk seolah-olah si mati sedang 'berbicara' melalui tubuhnya dan diibaratkan seperti menyelesaikan teka-teki kompleks, tetapi dengan implikasi sangat besar terhadap keadilan.
Dorongan utama saya adalah keinginan menyumbang kepada sistem keadilan melalui bidang perubatan dengan patologi forensik adalah jalan terbaik memenuhi tujuan itu.
S: Sepanjang menjadi pakar patologi forensik, apakah antara kes paling mencabar atau memberi kesan kepada Dr secara peribadi?
J: Setiap kes membawa cabaran tersendiri, namun antara paling memberi kesan adalah kes berkaitan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan hingga meninggal dunia. Ia bukan sahaja mencabar dari sudut teknikal dan perundangan, bahkan sangat menyentuh emosi kerana sebagai manusia dan ibu bapa, saya turut merasai kesedihan itu.
Melihat penderitaan tidak sepatutnya ditanggung insan kecil memberi saya kekuatan untuk melakukan yang terbaik supaya keadilan dapat ditegakkan.
Sepanjang kerjaya, saya pernah terbabit secara langsung dalam pengurusan jenazah dalam pelbagai insiden bencana berskala nasional mahupun antarabangsa contohnya Ops Maahad Tahfiz 2017 dalam pengendalian mayat kebakaran besar, wabak COVID-19, tanah runtuh di Ampang, kemalangan jalan raya meragut banyak nyawa serta pengurusan jenazah pada peringkat antarabangsa iaitu OPS Te Au Raki kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tentera New Zealand.
Pengalaman ini bukan sahaja tertumpu kepada aspek forensik, tetapi juga merangkumi disaster victim identification (DVI) dan pengurusan beretika terhadap jenazah mangsa bencana.
Mengurus tekanan dalam bidang ini memerlukan kekuatan mental dan sokongan sosial yang kukuh. Saya mengamalkan disiplin kendiri seperti refleksi harian, perbincangan bersama rakan sejawat serta tidak membawa beban kerja pulang ke rumah.
Kadangkala saya melibatkan diri dalam aktiviti luar dan spiritual untuk menenangkan fikiran.
S: Apakah cabaran utama sering dihadapi pakar patologi forensik di negara ini, terutama apabila berdepan kes berprofil tinggi?
J: Apabila berhadapan dengan kes berprofil tinggi, pakar patologi forensik sering berada dalam situasi penuh tekanan daripada pelbagai pihak sama ada media, keluarga si mati, pihak polis, peguam dan masyarakat awam.
Pada era media sosial serba pantas, sebarang maklumat senang tersebar sebelum proses forensik selesai sepenuhnya.
Ini boleh mengganggu perjalanan siasatan, mencetus spekulasi serta meletakkan pakar patologi forensik dalam kedudukan yang sukar apabila integriti dapatan bedah siasat mereka dipersoalkan secara terbuka.
Dalam kes sebegini, pakar patologi forensik perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan dan memastikan semua laporan bedah siasat disediakan secara profesional, berlandaskan fakta saintifik dan bebas daripada sebarang pengaruh luar.
Mereka juga perlu bersedia menjadi saksi di mahkamah dan berdepan dengan soal balas yang mencabar daripada pihak peguam bela yang kadangkala cuba menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti bedah siasat.
Dalam kes berprofil tinggi, harapan terhadap kesempurnaan kes forensik adalah tinggi. Namun, realitinya tidak semua institusi atau hospital dilengkapi teknologi moden seperti imbasan post-mortem CT.
Hal ini menjadikan tugas pakar patologi forensik lebih mencabar kerana mereka perlu menghasilkan dapatan bedah siasat tepat dan meyakinkan walaupun dengan sumber atau fasiliti terhad. Dalam keadaan ini, pengalaman, latihan berterusan dan kerjasama antara agensi menjadi faktor penting untuk memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan berintegriti.
S: Bagaimana memastikan ketepatan dan integriti hasil bedah siasat, terutama apabila ia boleh mempengaruhi siasatan jenayah dan proses keadilan?
J: Ketepatan dan integriti dalam setiap bedah siasat adalah keutamaan saya sebagai pakar patologi forensik kerana dapatan bedah siasat dihasilkan boleh membawa implikasi besar terhadap siasatan jenayah dan keputusan mahkamah.
Setiap prosedur dijalankan mengikut protokol ketat dan berlandaskan piawaian antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Royal College of Pathologists dan garis panduan tempatan.
Saya akan memastikan semua pemeriksaan luaran dan dalaman, gambar dan apabila perlu, imej radiologi X-ray atau imbasan CT semasa bedah siasat direkodkan secara terperinci dalam laporan bedah siasat.
Saya juga mengambil kira latar belakang klinikal si mati, laporan tempat kejadian dan analisis toksikologi, histologi serta mikrobiologi; semua ini dilakukan bagi memastikan setiap kesimpulan diberikan disokong bukti sahih dan boleh dipertanggungjawabkan di mahkamah.
Selain aspek teknikal, pemeliharaan integriti juga merangkumi aspek etika profesional. Saya sentiasa memastikan kerja saya bebas daripada sebarang pengaruh luar, termasuk tekanan pihak berkepentingan.
Bagi tujuan itu, saya menerapkan prinsip objektiviti, tidak berpihak dan menjaga kerahsiaan maklumat kes. Saya juga aktif mengikuti latihan profesional berterusan, seminar serta perbincangan kes rumit bersama rakan sejawat supaya amalan saya sentiasa selari dengan kemajuan terkini dalam bidang forensik.
Dalam kes rumit atau berisiko tinggi, saya juga akan mendapatkan pandangan kedua daripada pakar senior atau mengadakan mesyuarat antara disiplin (multidisciplinary case review) bagi memastikan setiap dapatan adalah tepat, menyeluruh dan diterima di mahkamah.
S: Bagaimana teknologi terkini membantu memudahkan kerja pakar patologi forensik berbanding kaedah tradisional sebelum ini?
J: Kemajuan teknologi seperti imbasan CT post-mortem dan analisis genetik meningkatkan ketepatan diagnosis serta mempercepatkan proses siasatan. Contohnya, dengan penggunaan virtual autopsy, teknologi ini boleh memberikan gambaran tiga dimensi tubuh si mati sebelum bedah siasat fizikal dijalankan.
Ini membantu dalam mengenal pasti kecederaan dalaman dengan lebih terperinci dan menyeluruh pada peringkat awal. Teknologi ini juga berguna dalam kes berprofil tinggi di mana keperluan untuk ketepatan dan dokumentasi kecederaan sangat kritikal.
Lantaran itu, saya kini berkolaborasi dengan Jabatan Sains Komputer, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sedang menjalankan kajian berkaitan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam menganalisis jenis kecederaan berdasarkan imej atau gambar diperoleh daripada pihak berkuasa.
Tujuannya adalah untuk meningkatkan ketepatan dalam pengenalpastian corak kecederaan secara objektif dan saintifik serta boleh dijadikan bukti kukuh di mahkamah. Teknologi ini juga berpotensi mempercepatkan proses analisis dalam kes berprofil tinggi atau membabitkan banyak mangsa. Selain itu, saya juga sedang menyiapkan kajian dalam bidang antropologi forensik di bawah geran Bahagian Penyelidikan dan Inovasi UPNM yang memfokuskan anggaran usia kematian berdasarkan pemeriksaan morfologi tulang belakang melalui imej imbasan CT.
Kajian ini bertujuan untuk membangunkan satu kaedah anggaran usia yang lebih tepat dan sesuai digunakan dalam populasi tempatan, dengan memberi tumpuan khusus kepada perubahan yang berlaku pada tulang vertebra apabila seseorang meningkat usia. Kajian ini berpotensi digunakan dalam kes pengecaman rangka manusia, terutama apabila hanya sebahagian kerangka yang dijumpai di lokasi kejadian.
Diharapkan hasil kajian ini dapat menyumbang kepada peningkatan ketepatan dalam profil biologi rangka serta memperkukuh lagi amalan antropologi forensik di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan