Ketidakhadiran PAS pada pertemuan rentas parti isyarat 'bosan' jadi nombor dua - Penganalisis
Nuratikah Athilya Hassan
KUALA LUMPUR: Tindakan PAS tidak menghadiri pertemuan rentas parti pemimpin blok bukan kerajaan semalam dilihat sebagai petunjuk bahawa parti itu sudah mula bosan dengan peranannya sebagai 'nombor dua' dalam blok pembangkang.
Penganalisis Politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak, berkata, ini kerana PAS mungkin merasakan mereka ada peluang untuk berperanan lebih besar jika mereka kembali menjadi kerajaan atau terajui kerajaan campuran jika menang pilihan raya.
"Namun, saya masih yakin hubungan parti PAS dan BERSATU masih dalam keadaan baik, jika ada pergeseran, ia lebih kepada salah faham yang timbul akibat keghairahan berpolitik.
"Masing-masing mahu ke depan, mahu tonjolkan kepimpinan dalam Perikatan Nasional (PN), tetapi sekiranya ketiga-tiga parti itu berkongsi idealisme sama iaitu menjadi kerajaan… kesannya tidak terlalu besar," katanya kepada Berita Harian hari ini.
Sebelum ini media melaporkan BERSATU menafikan pimpinan PAS selaku rakan parti komponen PN tidak dijemput dalam pertemuan pemimpin daripada parti blok bukan kerajaan bagi membincangkan cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti.
Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata jemputan dihantar kepada kepemimpinan tinggi PAS namun tiada wakil yang hadir.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan jemputan hanya diberikan kepada Presiden parti namun tidak dapat hadir kerana ada komitmen lain.
Mengulas lanjut, Muhammad Afifi turut mempersoalkan sama ada PAS benar-benar serius dalam komitmen kerjasama politik apabila tidak menghantar wakil selepas Presiden tidak boleh hadir.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa UUM itu, berkata jika program seperti itu benar-benar dianggap penting sepatutnya pemimpin utama parti hadir.
"Saya faham, pimpinan PAS sentiasa ada program. Tapi, adakah program ini dilihat sebagai satu keutamaan? Saya tidak pasti semua ketua parti hadir atau tidak.
"Kalau ini betul-betul mahu dilihat sebagai satu bentuk kerjasama dan sumbangan bersama PN, ia mesti diletakkan sebagai keutamaan. Sebagai contoh, jika ada perjumpaan penting seperti ini, batalkan program lain, hadir ke sini dahulu," ujarnya.
Sementara itu, Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata jika benar PAS tidak hadir kerana tidak dijemput, ia mencerminkan kelemahan koordinasi dalaman dalam PN.
"Bagaimanapun, jika PAS tidak hadir dengan sengaja walaupun menerima jemputan, ia boleh dianggap sebagai isyarat politik bahawa PAS mahu mengekalkan autonomi strategik dan tidak mahu dilihat terlalu dikawal BERSATU," ujarnya.
Mengulas trend politik PAS selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), beliau berkata parti itu kini memiliki kuasa politik tersendiri dan mendominasi blok pembangkang dari segi jumlah kerusi Parlimen.
"Dalam keadaan ini, PAS mungkin tidak lagi melihat dirinya sebagai sekadar komponen dalam PN, tetapi sebagai tonggak utama gabungan tersebut bahkan mungkin berpotensi menggantikan dominasi BERSATU.
"Maka, ketidakhadiran dalam mesyuarat penting ini boleh juga ditafsir sebagai usaha untuk mengukuhkan 'bargaining power' dan menghantar mesej kepada BERSATU bahawa ia tidak akan tunduk tanpa konsensus," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan