Malaysiakini
Satu laporan polis dibuat berikutan kejadian malang menimpa oleh seorang pelancong Taiwan yang mendakwa dia mengalami pemerasan dan gangguan seksual oleh pegawai polis pada 7 Julai.
Menurut Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng, laporan itu dibuat oleh Ketua Polis Balai Sea Park
Lim berkata pembantunya Dic Lai, yang juga penolong setiausaha pengelola DAP Wilayah Persekutuan, membuat susulan kes itu dengan polis hari ini.
Dalam catatan Facebook petang ini, Lim berkata dengan persetujuan mangsa, Lai turut memberikan bukti berkaitan kepada polis.
“Ketua balai polis sudah mengesahkan identiti anggota terbabit dan laporan polis rasmi sudah dibuat.
“Pihak berkuasa akan melancarkan siasatan di bawah Kanun Keseksaan, dan Jabatan Integriti dan Piawaian Pematuhan juga akan membuka siasatan dalaman,” kata ahli parlimen DAP itu.
Mangsa dikenali sebagai Tsai Yen An menceritakan kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam ketika dia sekeluarga dalam perjalanan menaiki Grab ke pasar malam SS2 di Petaling Jaya.
Menurut Tsai, kenderaan mereka ditahan oleh kira-kira tujuh atau lapan anggota polis beruniform di sekatan jalan raya sejurus sebelum sampai ke pasar malam.
Dia berkata ketika sedang gelisah mencari pasportnya, dia secara tidak sengaja tertekan fungsi rakaman video telefonnya, yang menyebabkan seorang pegawai menuduhnya merakamnya secara rahsia.
Tsai mendakwa dia dipaksa keluar dari kereta, telefonnya dirampas, dan pegawai enggan membenarkannya menggunakan penterjemah atau membuat panggilan.
Dia mendakwa pegawai itu menuntut RM10,000 atau mengugut untuk menahannya semalaman. Mereka juga didakwa memaksanya untuk membuka kunci aplikasi perbankannya dan menyemak baki akaunnya sebelum mendesaknya untuk membayar.
Keluarganya kemudiannya dikatakan dibawa beredar oleh pemandu Grab, meninggalkannya bersendirian dengan anggota polis.
Dia mendakwa anggota polis kemudian menawarkan untuk membebaskannya jika dia membayar RM1,000 dan bersetuju untuk pergi minum bersamanya selepas habis waktu kerja.
Tsai juga mendakwa bahawa anggota polis berkenaan membuka galeri gambarnya di telefon, memadamkan video yang tidak disengajakan, menyekat rakannya yang menelefon berpura-pura menjadi peguamnya, dan berulang kali mengganggunya.
“Saya menangis dan merayu polis supaya tidak memisahkan saya daripada keluarga, tetapi mereka tidak mengendahkan saya.
"Saya hanya mahu beredar dengan selamat bersama keluarga saya, tetapi akhirnya, saya ditinggalkan sendirian," tulisnya dalam catatan 14 Julai, yang telah tular.
Dia akhirnya diturunkan berhampiran pasar malam SS2 selepas keluarganya mengumpulkan RM300, tetapi dia mendakwa bahawa seorang pegawai terus menghubunginya, menuntut untuk bertemu di hotelnya.
Kerana takut akan keselamatannya, dia menukar hotel malam itu dan menyekat pegawai itu.
Tsai menggesa pelancong lain untuk terus berjaga-jaga dan tampil bersuara sekiranya mengalami pengalaman serupa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan