Pemandu teksi OKU ditikam, 3 ditahan bantu siasatan

Bernama

JOHOR BAHRU: Tiga lelaki warga asing ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang pemandu teksi Orang Kelainan Upaya (OKU) yang cedera parah selepas ditikam dan dikelar dalam kejadian di kawasan asrama pekerja di Desa Cemerlang, kelmarin.

Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata ketiga-tiga suspek ditahan di lokasi kejadian pada 2.30 pagi semalam.

“Semua suspek direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, Mohd Zulkefli Mydin, 40, dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat tikaman di perut dan paha kiri serta kelaran di pergelangan tangan kiri.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa sedang menunggu penumpang di kawasan berkenaan sebelum didatangi beberapa individu warga asing dipercayai berasal dari Myanmar dan Nepal, yang dalam keadaan mabuk.

Mereka dipercayai tidak dapat membuat keputusan sama ada mahu menggunakan perkhidmatan teksi atau tidak.

Salah seorang daripada warga asing terbabit memanggil-manggil mangsa dengan nada provokatif dan apabila mangsa menghampiri mereka, dia diserang secara tiba-tiba menggunakan senjata tajam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan