Pemuda PAS cabut 'gear undur' dari presiden

Siti Rohana Idris
Afnan Hamimi selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kelantan. - Foto NSTP/Siti Rohana Idris
Afnan Hamimi selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kelantan. - Foto NSTP/Siti Rohana Idris
KOTA BHARU: Pemuda PAS menegaskan pergerakan itu sudah memuktamadkan keputusan untuk mengekalkan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai presiden parti.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, memberi perumpamaan sudah mencabut 'gear undur' yang membawa maksud keputusan itu sudah tidak boleh diubah.

"Kita Pemuda (PAS) sudah cabut 'gear undur' dari Presiden (Abdul Hadi), tiada lagi gear berundur hanya ke hadapan terus," katanya ketika ditanya mengenai pemilihan jawatan tertinggi sempena Muktamar PAS yang akan berlangsung pada 15 September hingga 16 September ini.

Mengenai jawatan yang sedang disandangnya, Afnan Hamimi, berkata beliau menyerahkan kepada perwakilan sama ada untuk mengekalkannya atau digantikan dengan calon lain.

Beliau berkata, parti itu bersifat matang dalam berdepan dengan pemilihan malah tidak diajar untuk memburu jawatan sebaliknya menyerahkan kepada suara jemaah perwakilan.

Menurutnya terlalu ramai calon yang dianggap sesuai namun untuk menggalas jawatan memerlukan seseorang yang berani dan lantang dalam menyuarakan isu serta membangkitkan suara anak muda.

"Saya serah kepada perwakilan. Dalam PAS kita tak diajar untuk memburu jawatan jadi saya serah kepada perwakilan biar jemaah tentukan macam mana.

"Duduk di mana pun saya (tetap) berkhidmat, tiada masalah. Siapa pun yang akan mengundi (Ketua) Pemuda kena berjiwa muda, memahami bahasa Gen Z dan kena berani kerana era ini perlu kepada kepemimpinan yang lantang dan berani untuk menyuarakan isu, membangkitkan suara anak muda dan menegur perkara yang tak betul dilakukan oleh pihak kerajaan," katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kelantan di sini, hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan