Pensyarah universiti awam didakwa hisap syabu

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Melaka hari ini. Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON
MELAKA – Seorang pensyarah sebuah universiti awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memberikan kepada diri sendiri dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, Jun lalu.

Tertuduh, Mohd. Shahrizan Othman,44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memberikan kepada diri sendiri dadah jenis amphetamine dan methamphetamine yang disenaraikan di bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada pukul 5.20 petang di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Tengah, 19 Jun 2025.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan hendaklah menjalani pengawasan di bawah Seksyen 38B akta sama.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif, manakala tertuduh diwakili Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Izzudin dalam hujahnya memberitahu anak guamnya itu merupakan seorang pensyarah di sebuah universiti awam di negeri ini dengan pendapatan sekitar RM7,000, namun tertuduh sedang direhatkan susulan kes mahkamah dihadapinya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dan menetapkan tarikh 29 September depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan