Buletin TV3
BATU PAHAT: Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan pelajar Tingkatan Tiga yang mengaku bersalah amang seksual fizikal terhadap dua sepupu lelaki ketika sambutan hari lahirnya, Mac lalu dihantar ke Sekolah Tunas Bakti.
Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Arun Noval Dass terhadap pelajar berusia 15 tahun yang berhadapan tiga pertuduhan, berkuat kuasa hari ini selama tiga tahun.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dalam bilik air sebuah rumah dalam daerah ini antara jam 8.30 hingga 10.20 malam.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia mengulangi perbuatan sama ke atas individu lain berusia tujuh tahun di rumah tamu dan bilik tidur dengan semua kejadian, lokasi dan masa berlaku di tempat sama.
Untuk kesemua pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dengan penjara 20 tahun dan juga sebatan.
Bagi pesalah kanak-kanak, hukuman yang bakal dikenakan ialah bon berkelakuan baik, diletakkan bawah jagaan saudara atau orang lain yang sesuai dan layak serta dihantar ke Sekolah Henry Gurney.
Pada hari kejadian, majlis sambutan hari lahir diadakan dengan dihadiri beberapa orang termasuk dua mangsa terbabit.
Namun, sebaliknya berlaku apabila tertuduh mengajak seorang mangsa masuk ke bilik air lalu melakukan onar terhadapnya.
Selepas itu, tertuduh mengajak mangsa kedua dengan kejadian berlaku masing-masing dalam bilik tidur dan ruang tamu.
Kejadian itu terbongkar apabila mangsa menceritakan kepada ibunya sebelum membuat laporan polis.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam, Suhaila Shafi’uddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan