Tular: Gambar jet peribadi cetus kontroversi baru di Sabah

Malaysiakini 
story-image
Satu gambar tular memaparkan beberapa individu bersama bagasi di sebelah sebuah jet peribadi mencetuskan kontroversi baru, kali ini sekitar Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) yang merupakan milik penuh kerajaan negeri itu.

Gambar itu didakwa memaparkan CEO SMM Natasha Sim, setiausaha syarikat Emily Chong, dan taikun balak Sabah Elbert Lim berdiri di sebelah jet yang dikatakan milik seorang jutawan arang batu Indonesia.

Adun Warisan Justin Wong menyifatkan gambar tersebut sebagai pencetus skandal baru yang melanda SMM.

“SMM, yang dipengerusikan Ketua Menteri Hajiji Noor, sudah pun berdepan skandal pelombongan melibatkan 13 adunnya, speaker DUN, dan sebuah parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Sekarang, tiba-tiba timbul ‘skandal jet peribadi’ melibatkan dua pegawai pentadbiran tertinggi SMM, sebuah syarikat milik penuh kerajaan Sabah,” kata Adun Tanjong itu.
Justin Wong
Malaysiakini telah menghubungi Sim dan Pejabat Ketua Menteri untuk mendapatkan maklum balas mereka berhubung gambar tersebut.

Sebelum ini, Sim menyangkal dakwaan berkenaan jet peribadi itu setelah bekas CEO SMM, Jontih Enggihon membuat laporan polis pada 29 November lalu.

“Saya secara tegas dan tanpa syarat menafikan semua tuduhan salah laku terhadap saya. Ini adalah tuduhan yang tidak berasas dan berniat jahat yang nampaknya merupakan usaha untuk menjejaskan karakter dan reputasi saya.

“Saya mengalu-alukan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada sebarang siasatan berkaitan perkara ini,” kata Sim.

Laporan oleh Jontih membangkitkan dakwaan salah guna kuasa, rasuah dan konflik kepentingan, dengan mendakwa Sim menerima jemputan perjalanan mewah dengan jet peribadi pada Ogos lalu daripada sebuah syarikat Indonesia tanpa memaklumkan kepada lembaga pengarah SMM. Perjalanan itu dianggarkan menelan kos RM400,000 dan didakwa turut disertai oleh suaminya.

SMM juga telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Jontih dan ahli perniagaan, Albert Tei, dengan mendakwa mereka melakukan pelanggaran tanggungjawab fidusiari, kegiatan penipuan, salah nyata (misrepresentation) atau penipuan terhadap lembaga pengarah SMM.
Jontih Enggihon
Sementara itu, Wong membangkitkan kebimbangan lain: Adakah CEO yang memberi meluluskan lesen taikun Indonesia turut menjadi penumpang jet peribadinya?

“Adakah ini perlakuan rasuah dan salah laku dalam peranannya sebagai CEO sebuah syarikat milik kerajaan negeri?

“Soalan kedua: Mengapa Sim, yang juga orang yang meluluskan lesen untuk (Elbert) Lim, dibenarkan untuk (didakwa) ke luar negara bersama-samanya menaiki jet peribadi sama milik taikun Indonesia?

“Apahubungan istimewa antara Sim, Lim,dan taikun Indonesia itu sehingga membawa kepada penerbangan jet peribadi yang menelan belanja ratusan ribu ringgit? Ini merupakan konflik kepentingan yang serius serta ada unsur rasuah dan salah laku yang jelas," katanya lagi.

Wong mendesak Hajiji selaku pengerusi SMM agar memberi penjelasan terbuka, selain meminta SPRM menyiasat dakwaan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan