'Turun Anwar': Chegubard ditahan, disiasat atas dakwaan menghasut

Malaysiakini 

Ketua Bersatu Port Dickson Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard ditahan polis petang ini, didakwa berkaitan dengan perhimpunan 'Turun Anwar' yang berlangsung di ibu negara Sabtu lalu.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata pihaknya dimaklumkan pada pukul 2.30 petang tadi bahawa Chegubard ditahan di kediamannya.

Rafique mengecam tindakan pihak berkuasa itu dengan mendakwa ia tidak perlu kerana Badrul Hisham sudah menetapkan temu janji untuk bertemu penyiasat polis yang bertanggungjawab kesnya di Bukit Aman esok (Selasa).

“Semalam kami menerima pengesahan laporan polis telah dibuat terhadap Chegubard berhubung Himpunan Turun Anwar pada Sabtu.

“Kertas siasatan dibuka atas dakwaan kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (tingkah laku menghina), Seksyen 504 Kanun Keseksaan (menghina dengan sengaja dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan), Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan," katanya.

"Tangkapan dalam kes ini tidak diperlukan kerana Chegubard telah memberi akujanji untuk menghadirkan diri di Bukit Aman.

"Tindakan pihak berkuasa dan/atau arahan yang diberikan oleh pihak atasan adalah amat dikesali lebih-lebih lagi apabila tiada sebarang insiden tidak diingini semasa dan/atau susulan daripada Himpunan Turun Anwar," tambahnya.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia merujuk kepada kesalahan berkaitan penyalahgunaan kemudahan rangkaian, manakala Seksyen 4(1) Akta Hasutan menghukum kesalahan yang berkaitan dengan mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan.

Chegubard adalah antara pemimpin protes pada perhimpunan mendesak peletakan Anwar di Dataran Merdeka hujung minggu lalu.

Kenyataan itu tidak menyatakan dakwaan kesalahan Chegubard namun dia mencuri perhatian apabila menyebat patung mirip Anwar ketika himpunan kelmarin.

Malaysiakini telah menghubungi ibu pejabat polis persekutuan untuk mendapatkan ulasan dan butiran lanjut.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham dalam satu kenyataan berasingan mengkritik polis kerana menggunakan "undang-undang zalim" terhadap Badrul Hisham.

Dia berkata undang-undang seperti Akta Hasutan adalah antara yang dijanjikan Pakatan Harapan untuk dimansuhkan di bawah agenda Reformasi.

Menggunakan peruntukan itu terhadap Chegubard adalah bukti bahawa Anwar gagal menunaikan janji reformasi mereka, kata Hilman.

Justeru, katanya, Pemuda Bersatu menggesa Anwar meletakkan jawatan tanpa berselindung di sebalik undang-undang berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan