2 rakyat Malaysia ‘dibakar’ penganggur di Bangkok

FMT Reporters

Suspek menyimbah thinner ke atas pasangan itu ketika mereka duduk di luar sebuah pusat beli-belah sebelum membakar mereka.
Video tular menunjukkan orang awam membantu mangsa warga Malaysia dengan menyimbah air botol untuk memadamkan api. (Gambar X)
PETALING JAYA: Dua pelancong Malaysia cedera parah selepas ‘dibakar’ seorang penganggur di Bangkok, Thailand, semalam.

Ketua Polis Lumpini Yingyos Suwanno berkata kejadian 10 malam itu berlaku ketika mangsa, Ong Yik Leong, 26, dan Gan Xiao Zhen, 27, duduk di tangga luar pusat beli-belah Big C di pusat bandar Bangkok.

Suspek kemudian menuang sebotol plastik berisi bahan kimia thinner ke atas pasangan itu, yang cuba melarikan diri, lapor Bangkok Post.

Suspek mengejar mereka sebelum membakar mangsa.

Dia cuba melarikan diri tetapi ditahan orang awam.

Yingyos berkata Ong kini dirawat di unit rawatan rapi di Hospital Besar Polis manakala Gan dirawat di Hospital Memorial Raja Chulalongkorn.

Menurutnya, suspek mengaku menyerang rakyat Malaysia itu secara rambang kerana berang selepas diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan.

Video tular menunjukkan orang awam membantu mangsa dengan menyimbah air untuk memadamkan api.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan