3 lelaki warga China pecah rumah dipenjara 28 bulan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Kangar menjatuhkan hukuman penjara 28 bulan terhadap tiga lelaki warga China yang mengaku bersalah melakukan pecah rumah di Kuala Perlis bulan lepas.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor memerintahkan Yin Guanghua, 50, Lin Bingde, 54, dan Luo Zhibing, 38, dipenjarakan bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 18 Julai lepas, lapor Bernama.

Ketiga-tiga mereka secara bersama-sama dituduh memecah masuk rumah seorang lelaki berusia 62 tahun di Taman Bukit Kubu Fasa 2 pada 10.13 malam, 18 Julai, untuk mencuri.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan didenda.

Jika kesalahan itu mencuri, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 14 tahun dan didenda bagi tiap-tiap kesalahan kali kedua dan selanjutnya dipenjarakan seperti di atas dan didenda atau disebat, jika sabit kesalahan

Timbalan Pendakwa Raya Natasha Azmi tampil bagi pihak pendakwaan, manakala kesemua warga China itu tidak diwakili peguam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan