Bot ronda Filipina aibkan tentera laut China yang berlanggar sesama sendiri semasa mengusirnya

AFP
VIDEO dikongsi susulan pelanggaran kapal tentera laut China dan pengawal pantainya ketika sedang mengejar bot ronda milik Filipina di Beting Scarborough Shoal, Laut China Selatan FOTO Handout/ Philippine Coast Guard (PCG)/ AFP.
VIDEO dikongsi susulan pelanggaran kapal tentera laut China dan pengawal pantainya ketika sedang mengejar bot ronda milik Filipina di Beting Scarborough Shoal, Laut China Selatan FOTO Handout/ Philippine Coast Guard (PCG)/ AFP.
Manila: Kapal tentera laut China bertembung dengan sebuah kapal pengawal pantainya ketika mengejar bot ronda Filipina di Laut China Selatan, menurut pihak berkuasa di Manila hari ini, sambil mendedahkan rakaman video dramatik konfrontasi itu.

Jurucakap Pengawal Pantai Filipina (PCG), Komodor Jay Tarriela dalam satu kenyataan berkata, insiden itu berlaku berhampiran Beting Scarborough yang menjadi rebutan ketika pihaknya sedang mengiringi bot yang mengagihkan bantuan kepada nelayan di kawasan itu.

Video yang dikeluarkan oleh Manila menunjukkan sebuah kapal Pengawal Pantai China (CCG) dan sebuah kapal yang lebih besar dengan nombor 164 pada badannya bertembung, menghasilkan bunyi dentuman yang kuat.

"Kapal (Pengawal Pantai China) CCG 3104 yang mengejar kapal BRP Suluan (milik Filipina) pada kelajuan tinggi, melakukan gerakan berisiko dari sebelah kanan kapal Filipina, yang membawa kepada impak dengan kapal perang Tentera Laut PLA (Tentera Pembebasan Rakyat).

"Ini mengakibatkan kerosakan besar pada haluan kapal CCG itu menjadikannya tidak layak untuk belayar," katanya.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada terdapat anggota yang cedera dalam insiden itu.

Tarriela memberitahu AFP bahawa kru kapal China "tidak pernah memberi respons" terhadap tawaran bantuan daripada kapal Filipina.

Terdahulu menurut kenyataan Tarriela, BRP Suluan disasarkan dengan meriam air oleh pihak China tetapi berjaya mengelaknya.

Kedutaan China di Manila belum menjawab permintaan AFP untuk ulasan.

Pertembungan itu adalah yang terbaharu dalam siri konfrontasi antara China dan Filipina di Laut China Selatan yang mana Beijing menuntut hampir keseluruhan kawasan itu walaupun keputusan antarabangsa yang menyatakan tuntutan itu tidak mempunyai asas undang-undang.

Lebih 60 peratus perdagangan maritim global melalui laluan air yang menjadi pertikaian itu.

Beting Scarborough adalah kawasan terumbu dan batuan berbentuk segi tiga yang menjadi titik panas antara kedua-dua negara sejak China merampasnya daripada Filipina pada 2012.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan